‘Hampir 1 juta yang datang tak keluar, di mana mereka?



‘Hampir 1 juta yang datang tak keluar, di mana mereka?
October 28, 2024

Dato' Seri Dr. Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR: Laporan Audit 2018 mendapati pengurusan warga asing lemah, dengan lebih 100,000 pelancong yang masuk tetapi tidak keluar dari Malaysia setiap tahun.

Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata, sejak 2017, anggaran menunjukkan hampir satu juta warga asing mungkin kekal di negara ini tanpa pengawasan, menimbulkan isu keselamatan rakyat.

“Takkan hangpa sokong? Ini ialah masalah keselamatan rakyat Malaysia. 2017, 2018, 2019, 2020, 2021, 2022, 2023, 2024, berapa ratus ribu?

“Kalau ikut perkiraan ni, sudah hampir satu juta yang datang tak keluar? Di mana mereka? Di mana mereka?” ujar beliau

Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Belanjawan 2025 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau memuji Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki atas kejayaan menangkap pegawai imigresen yang terlibat dalam ‘kaunter setting’ yang memudahkan kemasukan warga asing ke negara ini.

“Bagaimana di pintu masuk yang lain? Di Perlis, di Kedah, di Kelantan. Di Perak? Ini kita kena bagi perhatian supaya perkara ini tidak berlaku,” gesa beliau.

Dalam masa yang sama, beliau menyatakan bahawa kad pengenalan (IC) palsu dan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) didapati berleluasa dan boleh dibeli dengan harga RM50 di Chow Kit tanpa sebarang tindakan lanjut.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan mengeluarkan kad pengenalan baru mulai tahun depan bagi memudahkan pengesanan pemilik IC palsu dan kad UNHCR yang diselewengkan.

Menurutnya, terdapat kebimbangan bahawa pelancong yang tidak keluar mungkin juga membeli kad tersebut.

Oleh itu katanya, perlu ditanya kepada kerajaan mengenai tindakan yang telah diambil untuk memastikan pengurusan warga asing dilaksanakan dengan baik.

“Menteri Dalam Negeri mesti memberi jawapan. Saya mencadangkan kalau ini serius, kertas putih ataupun RCI (perlu dibuat) untuk menyiasat pengeluaran kad tipu ini dan juga tentang pengurusan orang asing yang telah tidak dibuat dengan begitu baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/10/2024

Ulasan