Hero PAS yang tidak pernah kenal erti penat lelah
October 10, 2024
KETIKA orang lain sedang nyenyak dan enak tidur, mereka bertungkus-lumus melaksana dan menyempurnakan kerja, malah ketika orang lain bekerja menyara kehidupan, mereka juga masih bekerja yang selalunya dilakukan secara khidmat sukarela.
Itulah tenaga sukarelawan Jabatan Amal Kedah khususnya daripada kawasan Baling yang tiada kenal erti penat dan lelah membantu mangsa-mangsa banjir di sekitar kampung yang terjejas di daerah tersebut.
Banjir di Baling, bukanlah ‘biase-biase’, tetapi banjir yang membawa lumpur persis kejadian pernah berlaku di Yan akibat kepala air Gunung Jerai pada 18 Ogos 2021 dahulu.
Selut dan lumpur yang tebal, termasuk sampah sarap dan lain-lain terpaksa dicuci serta dibersihkan demi keselesaan orang lain.
Slogan ‘Al-Amalulillah’ iaitu beramal kerana Allah Jabatan Amal bukan sahaja menjadi keramat kepada unit berkenaan, tetapi motivasi dalaman yang mungkin dapat dirasai oleh badan sukarelawan lain.
Bukan sehari tetapi berhari-hari malah menjangkau berminggu-minggu, tentera merah ini tetap tega dengan tugasan tanpa gaji namun khidmatnya sepenuh jiwa raga.
Kelmarin, dua rumah penduduk di Kampung Batu 8, Rambong bertuah menjadi pilihan khidmat amal jabatan itu di sebelah pagi, termasuk dua rumah lagi dengan bantuan Pemuda PAS Pekan Tawar, di sebelah petang.
Tidak cukup di waktu siang, tentera merah ini meneruskan operasi di waktu malam, membersihkan dua rumah pula di Kampung Baru Sungai Lalang, di sini.
Sememangnya tidak perlu dihitung berapa jumlah rumah telah menumpahkan keringat pejuang tak didendang ini, namun jarang sekali mengecewakan penduduk kampung, antaranya Kampung Tanjung Pari, Kampung Bukit Endoi dan lain-lain.
Malah di Kampung Bukit Endoi, Parit Panjang, sukarelawan Jabatan Amal turut membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap akibat banjir menggunakan bot.
Sebelum ini khidmat bakti amal ini telah dicurahkan kepada bukan sahaja di Baling, sebaliknya di luar kawasan yang terjejas dengan pengemblengan tenaga bersama Jabatan Amal kawasan-kawasan lain.
Tidak dapat digambarkan kesusahan yang terpaksa mereka harungi, sudahlah berhadapan dengan ketebalan selut antara 5-6 inci, dalam masa sama terpaksa mengepam air dari sungai kerana proses mencuci itu memerlukan air yang banyak.
Apatah lagi kebanyakan penduduk menggunakan khidmat air masyarakat dan berlaku gangguan akibat banjir.
Banjir di Baling dan di tiga daerah lain iaitu Kubang Pasu, Pendang dan Kota Setar belum berakhir, malah pasang surutnya juga tidak dapat dijangkakan.
Justeru, tentunya wajah-wajah pejuang khidmat sukarelawan yang sudah terpapar keletihan dek kerana kerja keras sejak berminggu-minggu, belum boleh menguntum senyuman.
Tetapi dalam kepayahan dan keletihan, jiwa mereka tetap gembira dan hati mereka tetap tersenyum kerana berjaya menabur bakti sesama manusia.
Inilah yang dikatakan kejayaan bagi PAS kerana bukan sahaja berjaya mendidik ahlinya menjadi pejuang yang sanggup berkorban demi Islam, tetapi berjaya mendidik sukarelawannya menjadi tenaga hebat dan kental. – HARAKAHDAILY 10/10/2024
share & sebarkan:
Ulasan
Catat Ulasan