Hizbullah lancar serangan baharu: Peperangan tanpa henti

Hizbullah lancar serangan baharu: Peperangan tanpa henti
October 20, 2024

Yahya Sinwar

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Hizbullah mengumumkan pelancaran fasa baharu peperangan dengan tentera rejim Israel, yang melibatkan serangan langsung tanpa sebarang had atau ‘garisan merah’.

Beliau berkongsi kenyataan Timbalan Ketua Biro Politik HAMAS, Dr Khalil al-Hayyah, yang mengesahkan bahawa Ketua Biro Politik HAMAS, Yahya Sinwar, terkorban dalam pertempuran di Rafah, Gaza.

Beliau juga mengaitkan penegasan HAMAS, melalui Khalil al-Hayyah, bahawa tawanan Yahudi tidak akan dibebaskan sehingga Israel berundur sepenuhnya dan membebaskan rakyat Palestin yang dipenjarakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalil memaklumkan bahawa calon Presiden Amerika Syarikat (AS) dari Parti Demokrat yang juga Naib Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris, memberikan kenyataan dalam sidang medianya selepas pengumuman rejim Israel mengenai terkorbannya Yahya.


“Keadilan telah ditegakkan. Amerika Syarikat, negara haram Israel, dan seluruh dunia akan menjadi lebih baik dengan keputusan tersebut. Keadaan ini memberi peluang untuk mengakhiri perang di Gaza dengan syarat keselamatan negara haram Israel terjamin, tawanan pendatang haram Yahudi dibebaskan, mengakhiri penderitaan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, serta rakyat Palestin akan memperoleh hak, maruah, keselamatan, kebebasan, dan menentukan hala tuju mereka sendiri,” kata Khalil memetik ucapan Kamala.

Selain itu, ADUN Batu Buruk itu berkongsi kenyataan Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock, yang menyatakan bahawa sekolah-sekolah di Gaza, yang menjadi tempat perlindungan warga Gaza, boleh disasarkan untuk membolehkan negara haram Israel ‘mempertahankan diri’ dan mempertahankan diri bukan hanya bermaksud menyerang pengganas tetapi memusnahkan mereka.

Kenyataan Annalena itu menerima kecaman hebat dari seluruh dunia, terutama selepas menyatakan kepada PBB bahawa tempat awam boleh kehilangan status perlindungan jika disalahgunakan oleh pengganas.

Beliau berkongsi bahawa media negara haram Israel, Channel 12, melaporkan bahawa tiga pemuda bersenjata dari Jordan yang berpakaian sebagai anggota tentera Jordan telah menceroboh masuk ke negara haram Israel di utara Laut Mati dan melepaskan tembakan ke arah tentera rejim Israel yang berkawal di sempadan, menyebabkan dua anggota tentera rejim Israel cedera.

Tambahnya, tentera rejim Israel terus mencatatkan angka kematian yang tinggi sejak mereka melancarkan operasi pencerobohan ke Lubnan.

Beliau memaklumkan bahawa lebih 55 anggota tentera rejim Israel dilaporkan mati, dengan lebih 500 orang lagi cedera, termasuk lebih 20 buah kereta kebal Merkava yang musnah dibedil oleh pejuang Hizbullah.

“Bagaimanapun angka kematian sebenar anggota tentera rejim Israel dipercayai lebih tinggi kerana mereka mengenakan sekatan maklumat berkaitan operasi kenteraan baik di Gaza mahupun Lubnan,” ujarnya.

Jelas beliau, angka korban warga Semenanjung Gaza sehingga hari ini terus meningkat kepada 42,438 orang, manakala 99,246 lagi dilaporkan cedera akibat serangan ganas dan pembunuhan beramai-ramai oleh tentera rejim Israel.

“Serangan ganas bertali arus tentera rejim Israel ke atas Lubnan menyaksikan angka korban warga Lubnan meningkat kepada 2,412 orang dengan 11,285 orang lagi dilaporkan cedera,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/10/2024

Ulasan