
Inisiatif menoktahkan miskin tegar perlu pemahaman menyeluruh
Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin - Oktober 8, 2024 @ 8:45am
PADA 27 Julai 2023, Kerajaan Perpaduan memperkenalkan sebuah visi ekonomi baharu, iaitu 'Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat'. Di bawah naratif ekonomi baharu ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut: Ekonomi MADANI menetapkan sasaran jangka pendek sudah pun digerakkan bagi menangani isu segera mengesankan rakyat.
Dua isu segera mengesankan rakyat digariskan dalam kerangka Ekonomi MADANI ini adalah menyegerakan pelaksanaan projek sekolah dan klinik daif serta menoktahkan kemiskinan tegar. Dalam hal menoktahkan kemiskinan tegar, Perdana Menteri menyatakan ia perlu diselesaikan segera dengan menyatakan 'menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini juga, iaitu pada 2023.
Beberapa bulan sebelum pelancaran Ekonomi MADANI, iaitu pada 24 Februari 2023, pembentangan semula Belanjawan 2023 ataupun Belanjawan MADANI pertama dibentangkan di Parlimen, yang mana di bawah Ikhtiar Kesembilan, tumpuan diberikan kepada menoktahkan kemiskinan tegar.
Pada Belanjawan 2024, sekali lagi agenda menoktahkan miskin tegar ini ditekankan. Dalam Belanjawan 2024, ada dinyatakan masih ada lagi 18,000 isi rumah berada dalam kategori miskin tegar. Pelbagai kaedah serta strategi baharu diperkenalkan dalam usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar dalam naratif Ekonomi MADANI dan belanjawan MADANI diumumkan.
Disyorkan
Sebelum itu, agenda menurunkan kadar kemiskinan tegar rancak direncana sejak Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), Kajian Separuh Penggal (KPS) RMK11, RMK12 dan Kajian Separuh Penggal RMK12.
Tidak lama lagi, Belanjawan 2025 akan dibentangkan di Parlimen. Sekali lagi, satu aspek akan ditekankan adalah menoktahkan miskin tegar. Baru-baru ini, dalam program 'Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan', kerajaan memberi bayangan beberapa ikhtiar baharu akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2025.
Antaranya adalah menghentikan subsidi pendidikan kepada anak golongan kaya dan peralihan kepada pengukuran kemiskinan lebih adil, iaitu berdasarkan konsep Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI).
Mungkin masyarakat tidak begitu jelas dengan perkataan 'menoktahkan miskin tegar'. Masyarakat mungkin mentafsirkan 'noktah' sebagai 'hapus', maka istilah 'menoktahkan miskin tegar' bermaksud 'menghapuskan miskin tegar'.
Oleh itu, mengikut kenyataan di dalam kerangka Ekonomi MADANI, miskin tegar sepatutnya sudah dihapuskan pada 2023. Maka, kenapa isu miskin tegar ini masih lagi dibincangkan sehingga hari ini? Adakah kerajaan mempunyai maksud berbeza apabila menggunakan istilah 'menoktahkan' dalam konteks miskin tegar.
Terdapat dua aliran pemikiran dalam ekonomi mengenai kemiskinan. Aliran pertama percaya kemiskinan, sama ada kemiskinan tegar atau sebaliknya, tidak boleh dihapuskan - ia hanya perlu dikawal. Aliran pemikiran kedua menyatakan kemiskinan ini, sama ada tegar atau sebaliknya boleh dihapuskan.
Pemahaman penulis terhadap isu kemiskinan ini lebih kepada aliran pemikiran pertama. Justeru, untuk tidak menimbulkan kekeliruan, Belanjawan 2025 nanti diharapkan kerajaan boleh menjelaskan apa dimaksudkan dengan perkataan 'menoktahkan' itu.
Mungkin dalam hal berkaitan ekonomi rakyat, penggunaan bahasa paling mudah dapat membantu mereka memahami perancangan kerajaan dengan baik tanpa ada salah faham pada masa hadapan.
Kenal pasti ciri, sifat kemiskinan
Pada prinsipnya, cadangan supaya pengukuran kemiskinan dilakukan berdasarkan NDI sesuatu yang amat baik sebagai asas untuk mengenal pasti siapa sebenarnya berada dalam kategori miskin dan memerlukan bantuan kerajaan. Sebab itu, usaha kerajaan membangunkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) juga amat berguna.
Melalui NDI, selain dapat mengkategorikan golongan miskin dengan lebih tepat, ia juga mengenal pasti golongan kaya dengan lebih tepat juga. Ini kerana, kita tidak mahu golongan dianggap kaya akhirnya menjadi bertambah miskin akibat penarikan segala bantuan daripada kerajaan yang mereka alami sebelum ini.
Dalam keadaan kos sara hidup mencanak, kos perumahan semakin mahal, kemunculan masyarakat menua, kos pendidikan semakin meningkat, penyasaran semula subsidi, pengenalan cukai baharu dan peningkatan kadar cukai, adakah golongan dikatakan kaya itu betul-betul kaya.
Oleh itu, pada pembentangan Belanjawan 2025 nanti, kerajaan diharap dapat mengenal pasti ciri serta sifat kemiskinan berbeza di setiap wilayah di Malaysia. Contohnya, ciri kemiskinan di wilayah utara Semenanjung berbeza dengan kemiskinan di Sabah atau Sarawak. Maka, penyelesaian berbentuk 'one-size-fits all' tidak boleh dilakukan.
Salah satu daripada elemen penting menjayakan NDI adalah pembentukan matriks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW). Pembentukan PAKW ini bergantung kepada apa dimaksudkan dengan sebuah 'gaya hidup wajar', pendapatan dan kos sara hidup.
Kelaziman selalu digunakan adalah kos sara hidup di bandar lebih tinggi dari luar bandar. Adakah ini betul? Bukankah pendapatan di kawasan bandar lebih tinggi dari luar bandar? Walaupun nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semakin baik, jumlah pelaburan semakin meningkat, nilai mata wang semakin mengukuh, kenapa kos sara hidup masih meningkat serta kesejahteraan hidup rakyat masih belum dapat ditingkatkan.
Perlu kerangka menyeluruh noktahkan kemiskinan
Maka, dalam Belanjawan 2025 ini, satu kerangka menyeluruh diperlukan untuk bukan sahaja menoktahkan kemiskinan tegar, tetapi dapat memperkasa rakyat dengan meningkatkan kesejahteraan serta kebahagiaan hidup mereka.
Kerangka menyeluruh ini meliputi lima komponen utama perlu difokuskan iaitu:
Penyediaan perkhidmatan asas untuk mengadaptasi kepada masalah krisis iklim.
Pengenalan kepada pendapatan asas supaya rakyat dapat hidup selesa.
Perlindungan sosial bermakna, seperti bantuan pendapatan tambahan kepada golongan memerlukan mengikut NDI.
Reformasi sistem pencen berbentuk pelbagai peringkat.
Menyediakan pekerjaan bermakna kepada mereka yang terbabit serta memberikan nilai sebenar kepada masyarakat.
Kerangka menyeluruh ini bersifat jangka pendek dan panjang serta dapat mengembangkan kapasiti produktif ekonomi. Dengan erti kata lain, perbelanjaan kerajaan ini dapat menjana hasil pada masa hadapan.
Walaupun ekonomi Malaysia dilihat sudah bertambah baik, namun ia masih lagi tidak dapat dirasai rakyat teramai. Belanjawan 2025 diharapkan dapat menjadi wadah penting memastikan kesan lelehan ekonomi berlaku kepada rakyat Malaysia dengan mengurangkan insiden miskin tegar, mengawal kos sara hidup serta meningkatkan kemakmuran dan kebahagiaan hidup mereka secara menyeluruh.
Penulis adalah Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan