Janji peruntukan RM500 juta bila hendak agih?
October 3, 2024
Share
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
MACHANG: Sebelum Pilihan Raya Negeri melibatkan enam negeri pada Ogos 2023, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta bagi mengatasi masalah bekalan air bersih di Kelantan.
Malah pada Belanjawan 2024 Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan RM1.1 bilion bagi menyelesaikan bekalan air.
“Kerajaan Perpaduan berikrar isu bekalan air bersih harus dinoktahkan terutamanya di Kelantan, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” ujar Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pada sidang Dewan Rakyat sebelum ini beliau membangkitkan komitmen kerajaan persekutuan untuk mengurangkan isu Air Tidak Berhasil (NRW).
“Saya juga mengulangi berkenaan janji peruntukan tambahan RM500 juta oleh kerajaan persekutuan untuk Kelantan, bilakah peruntukan itu akan diagih,” katanya pada kenyataan media di sini.
Pada Jun 2023 ketika berucap pada Program ‘Temu Anwar Kelantan’ di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan tambahan RM500 juta untuk mengatasi masalah air bersih di Kelantan.
Malah sebelum itu media melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberithau kerajaan menyediakan peruntukan RM1 bilion kepada Kelantan untuk menyelesaikan masalah bekalan air.
Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Armada Bersatu Nasional berkata, kerajaan persekutuan perlu segera mengagihkan peruntukan tambahan seperti dijanji Perdana Menteri.
“Saya juga mengambil inisiatif menghantar wakil berunding dengan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago.
“Disebabkan masalah birokrasi saya juga menulis surat kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Dato’ Sri Fadillah Yusof,” katanya.
Menurutnya juga beliau menawarkan penyelesaian jangka pendek bagi menangani masalah NRW menggunakan teknologi tertentu di kawasan parlimen Machang. – HARAKAHDAILY 3/10/2024
Ulasan
Catat Ulasan