Jawapan PMX isu jam tangan LGBTQ mengecewakan



Jawapan PMX isu jam tangan LGBTQ mengecewakan
October 8, 2024


KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) kesal dengan jawapan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai isu sitaan jam Swatch yang mempunyai unsur LGBT ketika wawancara bersama Mehdi Hassan beberapa hari lalu.

Ketuanya, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, DUPP ingin mengingatkan Anwar Ibrahim bahawa langkah menyita jam tersebut merupakan suatu tindakan yang sangat signifikan bagi mengekang usaha menormalisasi ideologi songsang yang cuba diserap masuk ke dalam negara ini.

“Jawapan beliau bahawa usaha menangani LGBT dalam negara ‘bukan keutamaan’ begitu membimbangkan, apatah lagi dalam situasi negara sedang menghadapi ancaman moral kelompok yang memperjuangkan ideologi songsang ini di peringkat domestik mahupun global,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Pesuruhjaya PAS Kedah itu, tindakan menangani perkembangan ideologi LGBT tidak kurang pentingnya dengan usaha memajukan negara dan tidak wajar beliau mengenepikan isu-isu sosial masyarakat hanya kerana mahu mengutamakan pembangunan ekonomi.

“Bukankah pembangunan tamadun yang bersandarkan kepada slogan ‘madani’ harus menerapkan nilai akhlak dan moral yang tinggi, seiring dengan kemajuan material?” persoalnya.

Oleh yang demikian, ujar beliau, DUPP menggesa Kerajaan supaya meletakkan dasar yang tegas terhadap isu-isu LGBT serta tidak mengambil ringan ancaman normalisasi yang ada ketika ini.

“Kerajaan seharusnya serius menangani kebejatan moral dan memimpin rakyat ke arah kebenaran, bukan sebaliknya bersikap acuh tidak acuh sambil berlapik alasan pembangunan ekonomi sebagai keutamaan semata-mata,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/10/2024

Ulasan