Jika 10 tahun lalu Najib sedar, mohon maaf
Oleh Aznan Bakar
27 Oktober 2024, 7:00 am
SKANDAL 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan kecil-kecil anak. Ia ‘tersohor’ ke seluruh dunia. Selain sentiasa berada di bawah radar Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS). Ia turut dibangkitkan di dewan senat negara itu.
Kesnya dibicarakan di AS, Singapura, Switzerland dan Thailand. Institusi yang terkait pun bukan calang-calang termasuk Goldman Sach dan Lehman Brothers selain syarikat-syarikat broker dan pemilik modal terkenal di Asia Barat.
Nilai skandal puluhan bilion sebenarnya boleh menyebabkan Malaysia muflis. Ini cukup memalukan bagi sebuah negara diklasifikasikan sebagai antara kuasa ekonomi Asia dan negara Islam contoh di seluruh dunia.
Kerosakan yang berlaku di peringkat domestik akibat skandal 1MDB ini juga tidak sedikit. Ia menjejaskan kehidupan hampir semua individu dan organisasi yang terlibat. Siapa yang tidak dipanggil untuk memberi keterangan? Tidak pernah dalam sejarah negara kita begitu banyak tokoh-tokoh yang pernah berjasa kepada negara ditahan atau dipanggil duduk di kandang saksi.
Bekas Gabenor Bank Negara, bekas menteri, tokoh korporat dan banyak lagi semuanya terlibat. Ada yang terpaksa memakai baju lokap sebab kena soal siasat dan sebahagiannya hadir menjadi saksi.
Tulisan ini bukan bertujuan menabur garam pada luka yang dialami oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya. Ia sebagai iktibar bahawa dalam menguruskan sesebuah organisasi apatah lagi negara, pandangan yang berbeza-beza itu perlu diambil kira. Kritikan perlu dilihat pada nilai positif. Jangan hanya mendengar dari mulut si kakak tua yang hanya pandai berkata ‘ya tuan’, ‘ya tuan’, atau ‘semua ok bos’, ‘segalanya lancar bos’. Akhirnya apa yang terjadi? Berapa banyak yang menjadi korban 1MDB?
Tidak dinafikan ramai yang bersimpati dan sedih mendengar permohonan maaf Najib yang dibacakan oleh anaknya, Datuk Mohamad Nizar pada petang Khamis lalu bahawa beliau amat terluka dengan skandal 1MDB yang berlaku di bawah pengawasannya semasa menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Tetapi ketika itu juga kita menyaksikan para pengkritik 1MDB, mereka yang cuba tampil membetulkan situasi terpaksa menanggung akibat. Ada antara mereka yang hidupnya terjejas disebabkan cubaan membetulkan situasi itu.
Ramai yang masih tertanya-tanya kenapa Peguam Negara ditukar secara tiba-tiba. Kenapa Pasukan Petugas Khas yang menyiasat 1MDB terdiri dari Peguam Negara, SPRM dan PDRM ditamatkan tanpa alasan? Beberapa pemimpin dipecat dari parti kerajaan kerana lantang menyuarakan isu ini malah ada yang ditangkap di bawah Sosma.
Kerana 1MDB sebuah parti Melayu porak peranda, hilang kuasa yang dipegang selama 60 tahun dan nyaris berkubur kerana ditolak rakyat.
Mungkin ada yang tidak sedar kerana 1MDB juga sebuah institusi akhbar yang dibina dengan darah dan air mata orang Melayu terkubur kerana hilang wibawa dan kredibiliti disebabkan terlalu mempertahankan para pemimpin yang terlibat dalam skandal itu. Klimaksnya Najib sendiri ke penjara.
Ada yang berpandangan, jika 10 tahun lalu Najib sedar dan membuat permohonan maaf kesannya mungkin berbeza. Jika tidak semua pun, mungkin kerosakan akibat 1MDB itu tidak seteruk hari ini. – UTUSAN
Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan