Kalau isu GISBH boleh tegas, kenapa LGBTQ tidak?



Kalau isu GISBH boleh tegas, kenapa LGBTQ tidak?
October 8, 2024


ALOR SETAR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim digesa agar bertindak tegas terhadap sebarang aktiviti membabitkan golongan LGBTQ di Malaysia, terutama yang diadakan di khalayak ramai.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad mendesak agar ketegasan itu perlulah dibuat sebagaimana tegasnya Anwar menangani Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) di negara ini.

“Anwar pernah sebut, tak guna dia jadi PM, kalau tak ambil tindakan terhadap GISBH. Jadi samalah juga, tak guna jadi PM kalau tak ambil tindakan terhadap golongan LGBT,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Serai dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily di Kompleks PAS Kedah, di sini semalam.

Tegas Idris lagi, adalah tidak munasabah kalau dikatakan pihak berkuasa tidak mengetahui maklumat berkenaan larian antarabangsa yang disertai LGBTQ itu diadakan di Kota Tinggi, 5 Oktober lalu.

Sedangkan katanya, apa sahaja himpunan mahupun demontrasi yang akan dianjurkan oleh pembangkang, diketahui lebih awal oleh pihak berkuasa walaupun belum dimaklumkan.

“Berkenaan larian itu tentulah diketahui awal oleh pihak berkuasa tetapi kenapa tidak buat tindakan awal, kalau kerajaan benar-benar serius menangani isu-isu berkaitan LGBT ini?” soal beliau.

Akan tetapi katanya, berkaitan GISBH, kerajaan dan penyokong Islam progresif, bersungguh-sungguh mahu membanterasnya, berbeza dengan LGBTQ yang dilihat agak lunak dan kurang bersungguh.

Oleh itu gesanya, biarlah tindakan sama terhadap LGBTQ dilakukan seperti yang dibuat terhadap GISBH.

Berikutan itu beliau mengharapkan agar isu perarakan yang melibatkan LGBTQ itu juga perlu diambil tindakan sewajarnya dan jangan sekadar mohon maaf begitu sahaja.

Amat sedih katanya, negara majoriti rakyatnya beragama Islam tetapi boleh main-main dan sambil lewa dengan isu-isu sebegitu. – HARAKAHDAILY 8/10/2024

Ulasan