Kecewa dengan DAP punca bukan Melayu tidak keluar mengundi?



Kecewa dengan DAP punca bukan Melayu tidak keluar mengundi?
PERATUSAN bukan Melayu yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Sabtu lalu dilaporkan rendah. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Oleh SABRINA ZULKIFLI
1 Oktober 2024, 7:25 am

PETALING JAYA: Peratusan keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi bukan Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dikatakan ke­rana mereka semakin hilang kepercayaan terhadap DAP.

Ketua Penerangan Pemuda Kebangsaan MCA, Neow Choo Seong berkata, rasa kecewa dalam kalangan pengundi Cina semakin meningkat disebabkan isu-isu nasional tidak ditangani dengan baik oleh pe­mimpin parti berkenaan.


“Kebanyakan pengundi di luar daerah sudah mula me­luahkan rasa kecewa dengan DAP kerana tidak boleh mengawal isu nasional yang berlaku.

“Konflik yang timbul antara Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh membuatkan pengundi Cina berasakan ia seolah-olah mencabar keharmonian dalam perpaduan rakyat dan menimbulkan kegusaran serta konflik sesama sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini me­laporkan, peratusan pengundi bukan Melayu dalam PRK DUN Mahkota adalah rendah dan Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming mengakui tidak berpuas hati serta meminta parti terbabit mengkaji semula mengapa ramai pengundi bukan Melayu tidak keluar mengundi.

Menurut Choo Seong, isu yang berlaku menambah kekecewaan pengundi Cina dan mereka tidak menyokong mana-mana parti.


“Mereka meluahkan kekecewaan dengan tidak keluar mengundi kerana tidak nampak arah tuju yang sebenar sesebuah parti itu,” katanya.

Katanya, walaupun isu tersebut tidak ada kena mengena dengan PRK DUN Mahkota, sokongan pengundi Cina terhadap DAP semakin menurun apabila kepentingan mereka tidak dilaksanakan.

“Pengundi Cina tidak taksub dengan DAP tetapi DAP telah memberi harapan kepada mereka dan (pengundi) telah memberi masa yang cukup selama dua tahun, namun (ke­adaan) masih sama.

“Realitinya juga ialah sejak DAP menjadi sebuah kerajaan, mereka jadi parti senyap dan tidak membangkitan isu-isu kepentingan untuk kaum Cina,” dakwanya. – UTUSAN

Ulasan