Kehadiran kapal perang China tidak sama dengan negara lain
October 21, 2024
Share
Dato' Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz
KUALA LUMPUR: Kapal perang Negara China yang berlabuh di Pulau Pinang baru-baru ini tidak boleh disamakan dengan peristiwa sama melibatkan kapal-kapal perang negara lain.
Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) berkata, ia kerana negara-negara lain tidak terlibat dalam kejadian menceroboh perairan negara ini seperti yang sedang dilakukan China.
“Tidak sampai dua minggu selepas Kerajaan Pulau Pinang memberi layanan yang luar biasa, yang meriah kepada kelasi-kelasi kapal Tentera Laut China yang berlabuh di Pulau Pinang pada 8 Oktober lalu.
“Hari ini kapal pengawal pantai atau Chinese Coast Guard CZG5102 telah menceroboh Zon Maritim Malaysia dengan berlabuh secara haram di Beting Patinggi Ali,” katanya.
Menurut Ikmal, tindakan itu hingga menyebabkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terpaksa mengarahkan Kapal KD Selangor untuk melaksanakan misi membayangi kehadiran kapal China itu di Beting Patinggi Ali.
Beliau berkata demikian sewaktu mengajukan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau meminta Menteri Pertahanan untuk menyatakan berapakah jumlah insiden pencerobohan atau insiden kapal milik China yang didapati berlabuh secara haram di kawasan Beting Patinggi Ali.
“Sebab ini adalah satu tindakan yang melanggar peraturan antarabangsa.
“Serta berapakah jumlah nota bantahan diplomatik yang telah dikemukakan oleh TLDM kepada pihak Wisma Putra untuk dibangkitkan protes negara secara rasmi kepada negara China?” soalnya.
Beliau turut menyifatkan bahawa layanan Kerajaan Pulau Pinang kepada kelasi kapal Tentera Laut China baru-baru in adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak peka terhadap isu kedaulatan negara.
“Kita alu-alukan semua negara termasuk negara China untuk buat ‘port call’, kerana bila mereka datang mereka ‘shopping’, berbelanja. Tetapi negara lain tak ceroboh negara kita, yang ceroboh negara kita adalah daripada negara China,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dalam jawapannya berkata, perkara paling teras bagi Malaysia ialah untuk menjadikan Laut China Selatan sebagai laut yang selamat atas prinsip ‘freedom of navigation’.
“Jadi saya harap bahawa keselamatan dan kedaulatan keamanan kita di Laut China Selatan menjadi keutamaan kita. Sebab itu saya selalu menyebut bahawa Malaysia antara prinsip yang kita gunakan adalah diplomasi pertahanan kita.
“China kita tahu kita ada kerjasama (dengan Malaysia) lebih daripada 50 tahun. Tahun ini kita menyambut 50 tahun ulang tahun kita dengan antara Malaysia dan juga China,” katanya.
Jelas beliau, perkara itu akan dimanfaatkan di mana tindakan Tentera China berbeza berbanding tindakan negara itu dengan negara-negara jiran seperti Filipina dan Vietnam. – HARAKAHDAILY 21/10/2024
Ulasan
Catat Ulasan