Komitmen Azman Ibrahim kini juga di dasar laut


Komitmen Azman Ibrahim kini juga di dasar laut
October 7, 2024

Azman sedang memotong pukat yang melekat pada tukun dipanggil pukat hantu.

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim telah menunjukkan komitmen luar biasa terhadap tugasnya, bukan hanya di darat tetapi kini juga di dasar laut.

Beliau berkata, sebagai pengerusi pertanian negeri Terengganu beliau nekad memperoleh lesen penyelam SSI (Scuba Schools International), yang menempatkannya dalam kategori penyelam rekreasi.

Menurut Azman, lesen menyelam itu bukan sekadar lesen rekreasi, tetapi merupakan alat penting dalam pelaksanaan tanggungjawabnya, terutama dalam menilai keadaan tukun tiruan yang ditempatkan di dasar laut.

“Rasa kurang (lengkap) kalau hanya dapat laporan gambar dan video keadaan tukun yang kita labuhkan dari pasukan penyelam Jabatan Perikanan.

“Kalau dalam kebun, ladang, kolam, tasik, kandang dan reban kita boleh pergi maka kenapa tidak ke dasar laut.

“Lebih tepat lesen menyelam saya adalah lesen kerja,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Mengulas mengenai lesen, kata beliau, ia terbahagi kepada dua iaitu PADI (the Professional Association of Diving Instructors) dan SSI.

“Dua terma ini sangat sinonim bagi pemegang lesen untuk menerokai dunia dasar laut. Dua lesen ini termasuk dalam kategori penyelam rekreasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/10/2024

Ulasan