Masa untuk ahli Parlimen tunjuk bijak
Oleh Muhammad Nizam Abdul Hamid
23 Oktober 2024, 6:33 am
Ketika ini sedang berlangsung Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas 2024 di Dewan Rakyat yang melibatkan 222 Ahli Parlimen.
Sidang tersebut bermula 14 Oktober lalu dan akan berakhir 12 Disember ini. Ia berlangsung selama 35 hari, tempoh yang terpanjang berbanding dua mesyuarat sebelum ini iaitu yang pertama dari 26 Februari hingga 27 Mac lalu selama 19 hari dan kali kedua dari 24 Jun hingga 18 Julai selama 15 hari.
Mesyuarat Ketiga tersebut berlangsung lebih lama kerana banyak Rang Undang-Undang dan urusan Kerajaan yang lain dibawa ke dewan sebelum berakhir tahun ini.
Lebih penting dalam mesyuarat kali ini juga terdapat Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 oleh Menteri Kewangan yang telah disempurnakan Jumaat lalu dan akan dibahaskan untuk kelulusan dewan.
Sebenarnya inilah masa untuk semua ahli Parlimen menunjukkan kewibawaan mereka sebagai wakil rakyat yang dipilih dalam pilihan raya, kemampuan berbahas dan membawa isu-isu massa.
Jika sebelum ini masa berbahas mungkin singkat tetapi kali ini mereka ada masa yang cukup mengambil bahagian dan jika tidak terpilih sebagai pembahas sekurang-kurangnya mereka boleh mengemukakan soalan tambahan atau mencelah ketika sesuatu perkara dibahaskan.
Inilah masanya untuk mereka membangkitkan segala isu rakyat sama ada di kawasan Parlimen yang diwakili atau isu-isu nasional kerana Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 adalah mengenai rakyat.
Namun untuk tunjuk bijak dan kehebatan sebagai ahli Parlimen, mereka perlulah hadir persidangan.Jangan jadi seperti kelmarin, hinggakan sidang terpaksa ditangguh awal kerana tidak cukup kuorum.
Keputusan itu dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat selepas jumlah Ahli Parlimen yang hadir hanya 19 orang berbanding jumlah minimum yang diperlukan iaitu seramai 26 orang.
Isu kehadiran bukan perkara baharu kerana sebelum ini pun beberapa kali telah tertangguh malah acap kali juga loceng terpaksa digunakan bagi memanggil ahli Parlimen masuk ke dalam Dewan.
Sibuk sangatkah ahli Parlimen hingga terpaksa ponteng dan sebahagian besar kerusi di Dewan kosong? Jika Menteri tidak dapat datang, sepatutnya timbalan beliau perlulah ada. Bagi yang tiada jawatan pula, apa pula alasan mereka.
Pembangkang pun sama juga, bukankah tugas mereka untuk semak dan imbang terhadap keputusan-keputusan yang diputuskan oleh Dewan.
Sebab itulah berlaku ada ahli Parlimen yang tidak dikenali pun selepas hampir dua tahun Pilihan Raya Umum Ke-15 berlangsung. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan