Perkhidmatan kesihatan perlu reformasi, transformasi
October 28, 2024
Dato' Dr Ahmad Yunus Hairi
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan kesihatan negara masih lagi memerlukan reformasi dan transformasi secara menyeluruh dan memerlukan peruntukan yang besar.
Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkata, ia bukan sahaja perlu dilihat daripada jumlah peruntukan tetapi perancangan dan pelaksanaan program yang memberi impak kepada kesejahteraan rakyat.
“Penyasaran subsidi kesihatan awam iaitu pengecualian subsidi golongan berpendapatan tinggi dijangka akan menyumbang kepada perkhidmatan kesihatan lebih baik di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Adakah apa-apa kajian yang dilakukan, berapa ramai T15 yang datang mendapatkan rawatan di hospital KKM dan berapa jangkaan pendapatan daripada hospital itu serta pelaksanaannya,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat berkata, isu perkhidmatan kesihatan masih lagi membelenggu di KKM seperti kesesakan di klinik dan juga hospital KKM.
“Selain itu, isu kekurangan tenaga kerja pakar; pegawai perubatan, jururawat dan kumpulan sokongan yang lain; termasuklah infrastruktur klinik dan hospital yang masih belum lagi sempurna dan daif dengan peralatan yang tidak mencukupi dan usang.
“Apakah status program rintis lanjutan masa di pusat kesihatan dan Skim Perubatan Madani (SPM) bagi mengurangkan kesihatan pusat kesihatan dan hospital KKM,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/10/2024
Ulasan
Catat Ulasan