PRK Mahkota: Penyokong DAP tidak selesa dengan UMNO?



PRK Mahkota: Penyokong DAP tidak selesa dengan UMNO?

WALAUPUN ramai yang sinikal terhadap kelantangan Muhamad Akmal berhubung pensijilan halal, namun beberapa penganalisis beranggapan Ketua Pemuda UMNO itu antara faktor kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota, Sabtu lalu. – FACEBOOK AKMAL SALEH
Oleh Muhammad Afifi Abdul Razak
1 Oktober 2024, 8:00 am

KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota telah diumumkan, Sabtu lalu.

Daripada 66,318 pemilih berdaftar, hanya 53.84 peratus atau 35,705 orang yang keluar mengundi. Daripada jumlah itu, 339 kertas undi ditolak dan 24 kertas undi tidak dikembalikan.

Daripada 35,342 undi yang diterima, 27,995 undi berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, manakala 7,347 undi diberikan kepada calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.

Majoriti 20,648 undi ini dicapai meskipun peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina adalah rendah, berikutan ketidakpuasan hati mereka terhadap UMNO.

Kempen di Mahkota dipengaruhi oleh pertelingkahan antara Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, mengenai isu pensijilan halal. Ini berpunca daripada hantaran Muhamad Akmal di TikTok pada 7 September yang mengkritik Teresa.

Muhamad Akmal menolak dakwaan Teresa bahawa langkah mewajibkan pensijilan halal sebagai sesuatu yang memalukan negara, sebaliknya menegaskan bahawa tindakan Teresa sendiri yang mengganggu keharmonian negara lebih memalukan.


Muhamad Akmal dengan lantang menyatakan, “Kalau kamu tidak tahu tentang agama kami, jangan bercakap. Lebih baik kamu diam dan saya juga minta kerajaan sediakan satu logo tidak halal, tampal di dahi nyonya tua ini.”


Pada 11 September, Teresa menghantar notis undang-undang kepada Muhamad Akmal, menuntut ganti rugi sebanyak RM25 juta sementara Sayap Pemuda DAP bahagian Seputeh turut membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda UMNO itu.

Kritikan tajam Muhamad Akmal terhadap Teresa mencetuskan rasa tidak selesa dalam kalangan pengundi Cina, malah menyebabkan sentimen enggan keluar mengundi dalam komuniti tersebut. Ini juga diakui oleh pemimpin DAP sendiri.

Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching, mengakui terdapat kesukaran dalam memobilisasi pengundi Cina untuk mengundi calon BN kerana beberapa pengundi Cina kurang selesa dengan UMNO.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dalam kenyataannya menyatakan DAP mengambil berat tentang peratusan keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi bukan Melayu dan mengingatkan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan agar berusaha menjaga keharmonian dalaman serta memperkukuh kerjasama untuk mencapai kejayaan yang lebih besar di masa hadapan.

Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming pula menekankan pentingnya parti-parti kerajaan mengambil serius peratusan undi bukan Melayu yang rendah, sambil meneliti punca mereka enggan keluar mengundi dan mesej yang ingin disampaikan. Beliau menyatakan, komponen Kerajaan Perpaduan perlu berwaspada terhadap mereka yang dianggap sebagai ‘perosak’ yang merupakan gunting dalam lipatan atau musuh dalam selimut.

Namun, persoalannya ialah siapakah yang dimaksudkan sebagai ‘perosak’ ini? Pemimpin UMNO atau pemimpin DAP sendiri?

Walaupun DAP gagal memobilisasi pengundi Cina untuk keluar mengundi, calon BN masih meraih kemenangan dengan majoriti 20,648 undi. Jika bukan daripada pengundi Cina, dari mana datangnya majoriti besar ini?

Peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Melayu ialah 63 peratus, pengundi Cina (36 peratus) dan pengundi India (34 peratus). Dianggarkan seramai 8,100 pengundi Cina keluar mengundi.

Sebahagian daripada 8,100 pengundi Cina ini adalah 3,987 ahli MCA yang berjaya dimobilisasi melalui kempen agresif MCA di Mahkota.

Namun, sebahagian besar undi BN datangnya daripada pengundi Melayu yang kembali menyokong BN disebabkan faktor-faktor tertentu.

Daripada 4,510 undi tentera dan 401 undi polis dalam undi awal, BN menang selesa dengan memperoleh 3,119 undi berbanding PN yang hanya meraih 1,088 undi.

Selain faktor kestabilan Kerajaan Perpaduan dan pemulihan ekonomi negara, faktor penarik utama ialah keberanian UMNO dalam menghadapi DAP.

Ini menunjukkan UMNO masih mempunyai jati diri, walaupun dalam Kerajaan Perpaduan, ia masih berani mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam apabila dicabar.

Dalam konteks ini, kita boleh beranggap wira di sebalik kejayaan BN ialah Muhamad Akmal melalui tindakannya yang tidak gentar berhadapan dengan DAP, walaupun berada dalam satu kerjasama politik.

KEUPAYAAN DAP DIPERSOAL

Pandangan ini disokong oleh Felo Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Azmi Hassan, yang menyatakan pertelingkahan antara Muhamad Akmal dan Teresa mengenai isu pensijilan halal memberikan kemenangan moral dan keuntungan politik kepada UMNO.

Meskipun tanpa sokongan besar daripada pengundi Cina ekoran kegagalan DAP memobilisasi mereka, BN masih mampu meraih kemenangan selesa. Ini menjadikan DAP perlu menilai semula kerelevanannya dan pendiriannya dalam isu-isu politik semasa.

Saya bersetuju dengan analisis Pengerusi Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (Insap), Datuk Dr. Pamela Yong, yang mempersoalkan keupayaan DAP untuk menggerakkan pengundi tradisionalnya, terutamanya dalam kalangan pengundi Cina.

Ujar Pamela, dengan pengundi Cina dilihat lebih cenderung menyokong UMNO melalui BN, persoalan timbul mengenai nilai tambah DAP dalam kerjasama dengan UMNO, terutamanya dalam perpindahan undi Cina.

Tambah beliau, MCA dan BN nampaknya berjaya menemui cara yang efektif untuk melibatkan semula pengundi Cina melalui pendekatan yang rasional, sederhana dan praktikal.

Keputusan PRK Mahkota ini juga dikatakan mencerminkan pengaruh DAP semakin berkurangan, yang boleh memberi kesan kepada pilihan raya akan datang di kawasan-kawasan seumpamanya.

Pada masa yang sama, kemenangan hatrik BN di Pelangai, Nenggiri, dan Mahkota ini dijangka akan memberikan impak besar kepada politik Malaysia, merangsang semangat BN untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Johor dengan lebih yakin.

Sebagai kesimpulannya, peranan pemimpin seperti Muhamad Akmal dalam UMNO tidak boleh dipandang remeh. Sebagai Ketua Pemuda UMNO, beliau bersama jenteranya berjaya meningkatkan imej UMNO dalam kalangan pengundi Melayu.

Oleh itu, Muhamad Akmal perlu diberikan sokongan penuh oleh UMNO, termasuk dalam menghadapi saman Teresa dan diberikan ruang yang lebih luas untuk memainkan peranan dalam politik Malaysia.-UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis politik Malaysia.

Ulasan