PRK Nenggiri: BERSATU harap ada saksi tampil bantu fail petisyen
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim - Oktober 9, 2024 @ 8:03am
Pengerusi Perhubungan BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor (kiri) berkata parti itu masih berharap ada pengundi jadi saksi untuk memfailkan petisyen PRK DUN Nenggiri. - Foto fail NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
KOTA BHARU: BERSATU masih berharap ada penduduk kampung atau pengundi yang tampil untuk menjadi saksi bagi membolehkan mereka memfailkan petisyen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor, berkata sehingga kini tiada pihak yang tampil untuk menjadi saksi.
"Memang kita akui sehingga kini tiada saksi yang berani menyebabkan petisyen PRK DUN Nenggiri itu tidak dapat dilakukan.
"Petisyen ini boleh dilakukan dalam tempoh enam bulan selepas berlangsungnya PRK dan kita ada masa sehingga Februari tahun depan.
Disyorkan
"Walaupun peluang untuk memfailkan petisyen itu adalah tipis, kita masih berharap ada saksi yang berani tampil dalam tempoh masa yang ada ini.
"Andai kata sehingga tamat tempoh masih tiada, kita reda sajalah," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Perikatan Nasional (PN) sedang mengumpul bukti untuk memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada PRK DUN Nenggiri, 17 Ogos lalu.
Bukti itu membabitkan dakwaan BN merasuah dan mengancam pengundi sepanjang tempoh berkempen selama dua minggu.
Pada PRK DUN Nenggiri lalu, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38, merampas semula kerusi Nenggiri untuk UMNO dengan memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya daripada PN, Mohd Rizwadi yang meraih 5,739 undi.
Ulasan
Catat Ulasan