Salah faham dalam solat jamak dan qasar, berapa hari dibenarkan?
07 Oktober 2024 02:42pmMasa membaca: 4 minit
KEKELIRUAN dalam solat jamak dan qasar sering berlaku dalam umat Islam, apatah lagi bagi mereka yang jarang melakukan musafir lebih dua marhalah atau lebih 81 kilometer.
Keadaan yang sering menjadi salah faham ialah berapakah hari dibenarkan untuk menjamakkan (mengumpul) dan mengqasarkan (memendekkan) solat?
Pendakwah Ustaz Jafri Abu Bakar Al Mahmoodi mengakui salah faham dan kekeliruan tersebut sering terjadi dalam masyarakat Islam.
USTAZ JAFRI
Dalam rakaman video yang disiarkan melalui platform TikToknya, beliau menjelaskan, apa yang difahami segelintir umat Islam ialah dibolehkan jamak dan qasar dalam tempoh tiga hari dan hari keempat serta seterusnya perlu dilaksanakan solat secara tamam atau sempurna seperti kebiasaannya.
Menjawab salah faham tersebut, beliau memberikan contoh yang mudah difahami.
"Sebenarnya begini, kita bermusafir selama lima hari termasuk dua hari perjalanan iaitu perjalanan pergi dan pulang.
Artikel Berkaitan:Elak label orang tak solat lebih teruk daripada iblis
“Hari pertama dikira sebagai hari perjalanan. Hari kedua dikira sebagai hari pertama, hari ketiga pula ialah hari kedua dan hari keempat ialah hari ketiga. Hari kelima pula dikira sebagai hari perjalanan pulang.
SERING berlaku salah faham dan kekeliruan dalam pelaksanaan solat jamak dan qasar dalam masyarakat. Foto CANVA
“Kalau demikian keadaannya, keseluruhan itu (lima hari) dibolehkan untuk jamak dan qasar,” jelasnya
Adapun kalau bermusafir selama tujuh hari termasuk hari perjalanan pergi dan pulang katanya, selepas ditolak dua hari perjalanan, masih berbaki lima hari menetap di tempat tersebut.
“Maka kalau keadaan macam ini, sepanjang waktu itu (lima hari) dia tidak boleh jamak dan qasar solat kecuali pada hari perjalanan pergi dan balik sahaja,” jelasnya.
Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam artikel Al-Kafi #926: Perkiraan hari masuk dan hari keluar dalam hukum solat musafir (jamak dan qasar) menjelaskan, syarat sah solat jamak dan qasar bagi musafir seperti direkod dalam kitab Al-Fiqh al-Manhaji ialah:
“Tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar.”
SEKIRANYA menetap di satu tempat lebih dari tiga hari (tidak termasuk hari perjalanan pergi dan balik), maka keseluruhan tempoh semasa kita menetap di tempat tersebut tidak dibenarkan jamak dan qasar, dan perlu solat secara tamam (sempurna). Foto CANVA
Ia berdasarkan hadis Al-`Ala’ bin al-Hadhrami, Rasulullah SAW bersabda: “Orang Muhajirin bermukim di Mekkah selepas selesai menunaikan manasik selama tiga hari.” (Hadis Riwayat Muslim)
“Seseorang yang musafir hendaklah berniat menetap tiga hari (atau kurang) di destinasi musafirnya untuk membolehkannya mengambil rukhsah solat jamak dan qasar.
“Ini tidak termasuk siang hari sampai dan siang hari pulang, atau malam hari sampai dan malam hari pulang. Jika dihimpunkan keseluruhan hari tersebut, ia boleh mencecah lima hari,” jelasnya
Ulasan
Catat Ulasan