Sampai bila perlu tunggu isu beras selesai?
Oleh Mohd Shariza Abdullah
26 Oktober 2024, 7:07 am
TUNGGU punya tunggu, isu beras putih tempatan (BPT) masih juga belum selesai. Sama ada mengenai masalah bekalan yang sentiasa ‘hilang’ di pasaran mahupun berkaitan penetapan harga baharu.
Nampaknya, pasukan petugas khas bagi meneliti isu-isu berkaitan industri padi dan beras negara belum menemukan jalan menangani kekurangan bekalan. Begitu juga dengan mekanisme penetapan harga makanan ruji rakyat Malaysia itu walaupun pelbagai langkah dan strategi diambil.
Pada pertengahan Februari lalu, isu harga beras menjadi ‘riuh’ selepas penjualannya diumumkan pada harga RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg). Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Negara Bagi Kos Sara Hidup (NACCOL) mengumumkan pengenalan beras putih Malaysia Madani yang akan dijual pada harga berkenaan.
Pengumuman itu bagaimanapun menimbulkan kejutan dan kekeliruan. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia segera memaklumkan kerajaan belum membuat sebarang ketetapan susulan cadangan mewujudkan satu gred Beras Putih Malaysia Madani.
Alasan diberikan adalah ia berupa satu cadangan dan belum diputuskan jemaah menteri. Sebarang pengumuman atau ketetapan hendaklah dibuat berpandukan kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] serta dimaklumkan kepada jemaah menteri.
Isu itu terus menjadi perdebatan dalam kalangan pengguna, pengusaha, pekedai dan peruncit. Apatah lagi BPT ‘hilang’ atau sukar didapati gara-gara permintaan terlalu tinggi dengan kebiasaannya stok bahan mentah itu habis dalam tempoh yang pantas setiap kali masuk ke pasaran.
‘Perdebatan’ mengenainya menjadi reda seketika apabila pada Jun lepas, Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan ketetapan terhadap kenaikan harga siling BPT yang melibatkan empat hingga lima kementerian dijangka dimuktamadkan bulan ini.
Namun, hanya tinggal lima hari sebelum Oktober melabuhkan tirainya. Mekanisme harga beras belum nampak bayangnya. Yang ada adalah kenyataan ‘lazim’ iaitu harga siling beras tempatan perlu disemak semula. Ia perlu mengambil kira kos pengeluaran semasa, unjuran kos pada masa hadapan dan pergerakan harga beras putih dunia.
Kelmarin, dalam persidangan Dewan Rakyat, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengakui isu BPT belum selesai sepenuhnya walaupun telah mengambil beberapa langkah menanganinya.
Akhbar ini pernah menyiarkan syor pemain industri harga baharu BPT dan import perlu ditetapkan pada paras yang ideal bagi memastikan tidak ada terjejas dan memberi keadilan kepada semua pihak.
Antara harga yang dicadangkan ialah RM30 dan RM35 bagi setiap 10 kilogram (kg) dan harga tersebut dianggap realistik dalam usaha menstabilkan pasaran makanan ruji negara itu.
Sehingga kini, cadangan yang dikemukakan ‘masih kekal sebagai cadangan’. Pihak-pihak terlibat terutama pesawah dan pengilang beras masih tertunggu-tunggu dengan penuh harapan dan kerisauan.
Kita memahami isu BPT bukan mudah untuk ditangani. Dalam konteks ekosistem beras, perbincangan dan penyelarasan perlu dilakukan bersama pengusaha, pekedai serta peruncit. Masa depan semua pihak dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu terutama pesawah perlu dijaga.
Namun, rakyat kebanyakan sebagai pengguna menaruh harapan tinggi supaya isu ini segera menemukan hujung penyelesaiannya. Mereka sudah ‘muak’ makan beras import. Sampai bila hendak menunggu?
Mohd. Shariza Abdullah ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan