Serangan Israel ke atas Lubnan, tambah garam pada luka
October 3, 2024
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyifatkan serangan Israel ke atas Lubnan sebagai tindakan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.
Menurut Pengerusi Lajnah Antarabangsa DMPM, Dato Mumtaz Md Nawi berkata, siri serangan Israel yang dilakukan ke atas Lubnan hanya menambahkan ‘garam di atas luka’ di Timur Tengah, yang sudah lama bergelut dengan konflik dan ketidakstabilan.
Beliau berkata, seluruh dunia seharusnya menunjukkan solidariti terhadap rakyat Lubnan dan negara-negara Islam yang menghadapi konflik dengan Israel.
“Parti Islam Se-Malaysia (PAS) secara konsisten turut menyatakan pendirian untuk menentang pencerobohan dan tindakan kekerasan yang melibatkan negara-negara Islam, sambil menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap Israel.
“Ia atas dasar kemanusiaan, ketidakadilan dan sikap sombong Israel yang terus melakukan tindakan pencerobohan tanpa menghiraukan undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia,” katanya dalam satu kenyataan media di laman sosial Facebook DMPM.
Tambah Mumtaz lagi, serangan seperti ini bukan sahaja menjejaskan keamanan di rantau itu malah turut melanggar prinsip-prinsip kemanusiaan sejagat.
Tindakan tersebut dilihat sebagai memperburukkan lagi keadaan di rantau yang telah lama berdepan dengan ketegangan, penderitaan rakyat dan konflik berpanjangan.
Justeru itu, katanya lagi DMPM telah menganggap tindakan Israel sebagai manifestasi keangkuhan kuasa yang membelakangkan keadilan dan hak asasi muslim terutama rakyat Lubnan dan Palestin.
“DMPM menyeru agar komuniti antarabangsa lebih proaktif dalam menghentikan penindasan dan memastikan Israel bertanggungjawab atas tindakan agresifnya.
“DMPM turut mengecam serangan yang membunuh orang awam sebagai tindakan yang gila dan melanggar undang-undang perang antarabangsa,” ujarnya.
Mumtaz berkata DMPM turut membuat penegasan bahawa membunuh orang yang tidak bersalah, terutama wanita dan kanak-kanak merupakan satu jenayah perang yang tidak boleh diterima oleh mana-mana norma kemanusiaan mahupun undang-undang antarabangsa.
Katanya lagi, dengan adanya serangan ini, ia tidak hanya merosakkan peluang untuk keamanan yang berterusan, malah memburukkan lagi keadaan kemanusiaan di kawasan yang sudah sedia terjejas.
“Serangan ini dilihat sebagai satu bentuk provokasi yang tidak mempedulikan kesan buruk kepada masyarakat awam yang tidak bersalah, sekali gus merumitkan usaha untuk mencapai penyelesaian damai di Timur Tengah.
“Undang-undang perang seperti yang digariskan dalam Konvensyen Geneva, melindungi orang awam daripada dijadikan sasaran dalam konflik bersenjata.
“Serangan yang dilakukan ke atas orang awam bukan sahaja mencerminkan sikap kejam, tetapi juga menunjukkan pengabaian total terhadap hak asasi manusia dan nilai-nilai kemanusiaan sejagat,” katanya.
Oleh itu, katanya DMPM turut menyeru komuniti antarabangsa agar bertindak tegas menghentikan serangan ini dan memastikan pelaku bertanggungjawab atas jenayah yang dilakukan.
Tambah beliau lagi, sehingga September 2024, konflik berterusan antara Israel dan Hizbullah menyebabkan korban jiwa dan kemusnahan yang besar di Lubnan.
“Serangan udara Israel dalam operasi Northern Arrows telah membunuh lebih daripada 800 orang, termasuk ramai wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih daripada 5,000 orang.
“Hari yang paling berdarah adalah pada 23 September 2024, di mana 558 orang terbunuh dalam satu hari, termasuk 50 kanak-kanak dan 94 wanita.
“Serangan ini juga melibatkan kematian empat petugas perubatan dan mencederakan 16 yang lain akibat serangan ke atas ambulans,” ujarnya.
Beliau berkata DMPM dengan ini tegas menuntut agar pembunuhan dan peperangan yang menjadikan kanak-kanak dan wanita sebagai mangsa dihentikan serta-merta.
Katanya, tindakan ini bukan sahaja tidak berperikemanusiaan malah telah melanggar hak asasi manusia yang paling asas.
“Kanak-kanak dan wanita merupakan golongan yang paling terdedah dalam konflik. Sepatutnya mereka dilindungi dan bukan dijadikan sasaran keganasan.
“Israel tidak boleh terus berperanan sebagai “samseng global” yang dilindungi oleh abang besar sehingga boleh melakukan tindakan agresif tanpa dikenakan sebarang tindakan tegas oleh masyarakat antarabangsa,” katanya.
Sehubungan itu, Mumtaz turut menyeru agar negara-negara berkuasa dan pertubuhan antarabangsa memainkan peranan lebih aktif dalam menghentikan tindakan zalim Israel dan memastikan keadilan ditegakkan demi keamanan global.
Katanya lagi, serangan ini telah menyebabkan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal, terutamanya dari selatan Lubnan dan Lembah Bekaa, dengan ramai melarikan diri ke Syria.
Kemusnahan infrastruktur yang besar termasuk kawasan perumahan, sekolah dan kemudahan perubatan telah memburukkan lagi krisis kemanusiaan sehingga kerajaan Lubnan menghadapi kesukaran untuk menyediakan bantuan kepada penduduk yang terjejas.
Tambah beliau lagi, situasi ini merupakan salah satu episod paling berdarah di Lubnan yang kian lama tidak memiliki kekuatan ekonomi apalagi persediaan senjata akibat perang pada tahun 2006.
“Keadaan pada masa kini semakin buruk apabila kedua-dua pihak terus bertempur di sempadan.
“Tanpa isyarat dan penentangan jelas peperangan ini dikhuatiri akan merebak dan menyebabkan meletusnya perang dunia ketiga yang tidak sama sekali diingini oleh mana-mana manusia dan negara yang waras.
“Satu titik noktah diperlukan untuk semua tindakan drakonian dan barbarik ini ke atas manusia sejagat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/10/2024
Ulasan
Catat Ulasan