
Subsidi pendidikan: Kerajaan belum membuat sebarang keputusan
FAHMI FADZIL
Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
9 Oktober 2024, 6:40 am
PUTRAJAYA: Kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk menghentikan peruntukan subsidi pendidikan untuk anak-anak golongan kaya.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu masih di peringkat penelitian tentang beberapa perkara prinsip yang perlu diambil kira.
Jelasnya, kaedah penyasaran semula subsidi pendidikan tidak boleh disamakan seperti mana pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik.
“Kita belum putuskan, ia masih di peringkat penelitian, ada beberapa perkara yang menjadi prinsip secara umumnya.
“Kalau pada isu (penyasaran) subsidi elektrik sebagai contoh, kita beri penekanan bahawa 85 peratus daripada pengguna di semenanjung Malaysia tidak akan terkesan dengan sebarang kenaikan, maka kita boleh ambil itu sebagai satu prinsip.
“Cuma dalam beberapa perkara seperti pendidikan, ia tidak berdasarkan seperti dalam kes bil elektrik, ia adalah bersandarkan kepada tahap penggunaan, tetapi dalam isu pendidikan, mungkin kita akan teliti beberapa perkara yang lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di sini semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa kerajaan akan menilai semula peruntukan subsidi dalam sektor pendidikan yang selama ini dinikmati golongan mahakaya.
Anwar menegaskan, perkara itu antara yang diberi keutamaan dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober depan agar pemberian subsidi itu hanya diberikan kepada golongan miskin dan benar-benar layak.
Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kemudian menjelaskan, kerajaan masih kekal dengan pendirian dalam memastikan akses pendidikan dapat dinikmati oleh semua golongan, walaupun wujud cadangan untuk menghentikan subsidi membiayai pendidikan anak-anak golongan kaya.
Beliau berkata, dasar kepada akses pendidikan juga tidak berubah dan akan terus memberi keutamaan kepada semua golongan bermula dari pendidikan peringkat rendah sehingga ke institusi pengajian tinggi.
Sementara itu, Fahmi memberitahu, Malaysia akan memainkan peranan membawa ASEAN ke satu kedudukan lebih baik sepanjang tempoh menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun depan.
Katanya, Malaysia secara rasmi akan menerima kepengerusian ASEAN pada 11 Oktober ini daripada Laos.
Beliau memaklumkan, Perdana Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan bermula semalam hingga 11 Oktober ini di Vientiane, Laos.
“Malaysia akan secara rasminya menerima kepengerusian ASEAN bagi tahun 2025 dan sudah pasti kepengerusian ASEAN ini bagi tahun 2025 adalah satu perkara yang cukup dinanti-nantikan.
“Malaysia akan mainkan peranan untuk pastikan ASEAN itu sendiri berada pada satu kedudukan yang lebih baik. Insya Allah, kita harap dan menegaskan beberapa prinsip yang dipegang oleh ASEAN,” katanya.
Malaysia sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Ulasan
Catat Ulasan