T15 tidak jelas perincian, jauh dari ungkapan maha kaya

T15 tidak jelas perincian, jauh dari ungkapan maha kaya
October 28, 2024

Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR: Hak rakyat wajar ditunaikan oleh kerajaan tidak kira di mana-mana peringkat dan latar belakang, kata Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman).

Beliau berkata, kerajaan mestilah cermat dan berhati hati agar dalam masa yang sama ia turut mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh rakyat dan turut berlaku adil kepada semua.

“Inilah intipati, maksud firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat kelapan yang bermaksud: ‘hendaklah kamu berlaku adil kepada sesiapa juga kerana sikap adil itu hampir kepada takwa’.

“Apabila disebut T15 yang dirujuk sebagai maha kaya, kita terpinga-pinga kerana T15 yang tidak jelas perincian ini sebenarnya jauh dari ungkapan maha kaya.

“Sebenarnya ditulis dalam teks bajet sebanyak tiga kali dan diulang dalam ucapan sebanyak lapan kali semasa pembentangan,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, kerajaan sewajarnya menentukan lebih awal dan cermat dalam merangka sesuatu bajet dan bukannya disesuaikan definisinya apabila sedar.

“Kelompok ini bukanlah daripada kelompok maha kaya. Apapun, alhamdulillah kerana kerajaan bersifat responsif dalam hal ini.

“Kerajaan mestilah bersifat adil kepada mereka tidak kira sama ada daripada golongan T10 atau T5 kerana golongan ini juga bertanya motivasi dan perkhidmatan apa yang akan meraka dapat,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/10/2024

Ulasan