
Tambahan peruntukan sektor pertanian demi penuhi keterjaminan makanan negara
Oleh Muhammad Khairulanam Zakaria - Oktober 26, 2024 @ 10:00am
Dengan nilai import makanan Malaysia mencecah angka ratusan bilion ringgit setiap tahun, tambahan peruntukan untuk sektor pertanian dilihat sebagai strategi jangka panjang mengurangkan kebergantungan kepada pasaran antarabangsa. - Foto hiasan NSTP
SEKTOR pertanian negara menerima suntikan baharu apabila Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan besar sebanyak RM300 juta kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam pembentangan Belanjawan 2025, Jumaat lalu.
Ini bermakna, KPKM menerima peruntukan sebanyak RM6.42 bilion tahun depan berbanding RM6.17 bilion. Peruntukan ini khusus untuk menjalin kerjasama projek pertanian dengan kerajaan negeri, menunjukkan peningkatan ketara dana negara sebanyak RM150 juta kepada KPKM bagi mengukuhkan sektor pertanian negara, berbanding tahun ini.
Pengumuman peruntukan tinggi dalam belanjawan tahun depan itu mencerminkan kesungguhan kerajaan memperkasakan sektor pertanian negara yang menyedari keperluan melindungi keterjaminan makanan negara secara mampan.
Ini ditegaskan Perdana Menteri yang berkata: "Antara kelemahan ketara sekarang, kerana kita terlalu bergantung kepada import makanan walhal tanah subur dan kemampuan meningkatkan keterjaminan makanan negara,".
Beliau turut memuji prestasi KPKM dengan menyatakan, "Kita ucap tahniah kerana kesungguhan kementerian dalam bidang ini maka ditambah RM300 juta bagi menjalin kerjasama projek pertanian dengan kerajaan negeri, menokok ketimbang RM150 juta tahun ini."
Peningkatan peruntukan ini mencerminkan keseriusan kerajaan menangani isu keterjaminan makanan negara. Dengan nilai import makanan Malaysia mencecah angka ratusan bilion ringgit setiap tahun, langkah ini dilihat sebagai strategi jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada pasaran antarabangsa.
Berdasarkan peruntukan baharu ini, beberapa projek utama dikenal pasti seperti di Perak, fokus akan diberikan kepada pengeluaran bawang, satu inisiatif bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada import bawang yang kini mencecah 80 peratus daripada keperluan negara.
Projek ternakan tilapia merah di Pahang pula dijangka akan meningkatkan pengeluaran ikan air tawar tempatan, memandangkan permintaan semakin meningkat untuk sumber protein berkualiti tinggi ini.
Sementara itu, program peningkatan hasil padi di Negeri Sembilan adalah sebahagian daripada strategi komprehensif untuk meningkatkan tahap sara diri beras negara.
Melalui penggunaan teknologi moden dan amalan pertanian pintar, program ini mensasarkan peningkatan hasil padi sehingga tujuh tan sehektar, berbanding purata semasa empat hingga lima tan sehektar.
Kerajaan juga mengambil langkah proaktif dengan mengumumkan kerjasama bersama sektor swasta untuk memanfaatkan 3,561 hektar tanah terbiar milik lembaga kemajuan wilayah dan agensi rangkaian.
Tanah ini akan dibangunkan untuk pelbagai projek termasuk perusahaan ayam organik dan penternakan lembu. Inisiatif ini bukan sahaja akan meningkatkan pengeluaran makanan tempatan, tetapi membuka peluang pekerjaan baharu dalam sektor pertanian.
Dalam konteks pembangunan modal insan, peruntukan ini akan membiayai program latihan komprehensif untuk petani moden. Program ini merangkumi aspek teknologi pertanian pintar, pengurusan ladang digital dan teknik pemasaran produk pertanian.
Peruntukan ini akan menyokong pembangunan infrastruktur pertanian kritikal termasuk sistem pengairan moden, pusat pengumpulan dan pemprosesan hasil tani serta rangkaian logistik efisien.
Pembangunan infrastruktur ini penting untuk memastikan hasil pertanian dapat diproses dan diagihkan dengan cekap ke seluruh negara.
Aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) turut diberi keutamaan dalam peruntukan ini. Dana akan disalurkan untuk menjalankan kajian berkaitan benih berkualiti tinggi, teknik pertanian lestari dan adaptasi terhadap perubahan iklim.
Kerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan juga akan diperkukuhkan untuk memastikan hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan komuniti petani dan pekebun.
Inisiatif pertanian pintar juga antara komponen penting dalam perancangan ini. Penggunaan teknologi seperti sensor tanah, sistem pengairan automatik dan analisis data akan diperluaskan untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan pembaziran sumber. Teknologi ini akan membantu petani membuat keputusan lebih tepat berdasarkan data sebenar di ladang.
Bahkan, program khas juga akan dilaksanakan untuk menggalakkan pertanian bandar. Ini termasuk pembangunan kebun komuniti, sistem hidroponik moden dan program pendidikan pertanian untuk penduduk bandar.
Inisiatif ini bertujuan bukan sahaja untuk meningkatkan pengeluaran makanan tetapi untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan isu menjaga keterjaminan makanan.
Dalam aspek pemasaran, peruntukan daripada Belanjawan 2025 akan membantu memperkukuhkan hubungan antara petani dan pasaran. Program seperti platform e-dagang khusus untuk produk pertanian dan pusat pengumpulan hasil tani akan dikembangkan. Ini akan membantu petani mendapat akses pasaran yang lebih baik dan harga yang lebih adil untuk hasil mereka.
Apa yang pasti, inisiatif dicadangkan Kerajaan MADANI dalam sektor pertanian dan rantaiannya ini adalah demi memenuhi Dasar Keterjaminan Makanan Negara serta Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).
Penulis ialah Pensyarah Sarjana Muda Industri Pertanian, Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat, Universiti Sultan Azlan Shah
Ulasan
Catat Ulasan