Tangani tiga ‘bom jangka’ pada ekonomi negara



Tangani tiga ‘bom jangka’ pada ekonomi negara
October 21, 2024


KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menangani tiga isu structural dan sistemik berkaitan ekonomi yang disifatkan akan menjadi ‘bom jangka’ kepada rakyat dan negara.

Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) berkata, tiga isu itu ialah keberhutangan kerajaan; keberhutangan generasi muda dan isu pekerjaan di bawah kelayakan (underemployment).

Menurut beliau, bagi isu berkaitan hutang kerajaan, ia menuntut kepada iltizam semua pihak untuk menambah baik tatakelola fiskal bagi mencapai paras hutang berhemat selaras dengan objektif fiskal di bawah Akta 850.

“Biarlah hutang itu hutang yang produktif dan berkualiti, seterusnya menambah baik pengurusan hutang. Hendaknya secara patuh Syariah, demi mencapai kemampanan hutang dalam jangka masa sederhana dan panjang,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.




Kata beliau, bagi isu kedua iaitu isu keberhutangan generasi muda, beliau merujuk kepada kenyataan Menteri Kewangan dalam satu laporan berita bertarikh 1 Oktober baru-baru ini yang menyatakan beberapa fakta.

Antaranya, kata beliau, seramai 53,000 individu berumur bawah 30 tahun didapati dibebani hutang terkumpul berjumlah RM1.9 bilion, data AKPK.

“Peningkatan kebolehcapaian pinjaman peribadi, kad kredit, dan terutamanya skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (Buy Now Pay Later, BNPL) yang amat membimbangkan, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“Memetik laporan terbaharu Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), nilai hutang BNPL kini telah meningkat kepada RM1.42 bilion,” katanya.

Maklumat itu juga, kata Syahir, menyatakan bahawa majoriti daripada 3.7 juta pemegang akaun BNPL adalah mereka yang berusia di antara 21 dan 45 tahun.

“Pengguna di Malaysia, khususnya dalam kalangan generasi muda, berisiko terjerumus ke dalam kancah hutang isi rumah yang lebih tinggi akibat kecenderungan menggunakan kemudahan skim BNPL ini.

“Tidak seperti kad kredit dan pinjaman peribadi, BNPL selalunya tidak memerlukan semakan kredit yang mendalam,” katanya.

Sementara ‘bom jangka’ ketiga pula, iaitu isu pekerjaan di bawah kelayakan dalam kalangan belia dan graduan pula, kata Syahir, ia adalah disebabkan oleh desakan ekonomi pada masa kini.

“Sesetengah graduan terpaksa mengambil apa sahaja peluang yang ada demi kelangsungan hidup tanpa mengambilkira kesan jangka panjang kepada perkembangan kerjaya mereka.

“Sebagai contoh, graduan TVET yang sepatutnya menjadi juruteknik terlatih di industri bekerja sebagai penghantar makanan kerana fleksibiliti masa dan pendapatan lebih tinggi khususnya dalam jangka masa pendek,” katanya.

Malah, kata Syahir, World Bank melaporkan lebih satu perempat pemegang ijazah di Malaysia bekerja dalam bidang pekerjaan yang tidak setaraf kelayakan mereka, selain sukar memperoleh pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Fenomena gunatenaga tidak penuh ini perlu dilihat secara holistik. Ia boleh menjadi bom jangka kepada negara dalam jangka panjang.

“Bakat yang sepatutnya berada dalam industri dengan kemahiran TVET atau universiti tidak berada di tempat sewajarnya. Menangani isu ini memerlukan satu ikhtiar khusus, dan menyeluruh,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2024

Ulasan