Teks Belanjawan tidak disebut PM boleh dibahas?
October 21, 2024
Datuk Seri Takiyuddin Hassan
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 10(1) berkaitan dengan teks ucapan Belanjawan Malaysia 2025 yang dibuat oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang tidak dibaca sewaktu pembentangan lepas.
Beliau yang membangkitkan perkara itu meminta penjelasan daripada Timbalan Speaker sama ada perkara-perkara yang tidak disebut itu akan dimasukkan ke dalam hansard (penyata rasmi) yang boleh dibahaskan dalam Dewan Rakyat.
Takiyuddin merujuk kepada catatan di dalam teks ucapan Belanjawan 2025 itu pada butiran 255 yang berbunyi: ‘Kerajaan akan menggubal akta baru bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu. Pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan, atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat-syarat ditetapkan atau dipantau oleh pegawai penjara’.
“Persoalan saya, adakah ‘Butiran 255’ dalam ucapan yang tidak dibaca oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan pada 18 Oktober 2024 yang lalu menjadi sebahagian daripada hansard yang boleh dibahaskan oleh Ahli-ahli Parlimen.
“Kalau sekiranya ini tidak dianggap sebahagian daripada hansard, jawapannya mungkin akan diberikan ‘ianya tidak pernah disebut di dalam perbahasan’. Tetapi pokoknya ada di dalam teks ucapan Belanjawan Madani tahun 2025,” katanya.
Beliau turut meminta Timbalan Speaker, Dato’ Dr Ramli Mohd Nor agar memberikan petua segera bagi isu yang dibangkitkan itu tanpa perlu menunggu keputusan Speaker memandangkan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin akan membahaskan Belanjawan 2025 selepas itu.
Beliau yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional membangkitkan perkara itu sebaik selesai sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu Timbalan Speaker dalam jawapannya berkata, beliau melihat bahawa perkara itu boleh diputuskan beliau sendiri.
Namun, kata Ramli, sekiranya ada Ahli Parlimen yang tidak berpuas hati mereka boleh mengajukan bantahan dengan keputusan akhir terletak kepada Speaker Dewan Rakyat.
“Memandangkan teks dan ‘soft copy’ atau pun ‘hard copy’ telah diedar kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat di dalam Dewan ini, walaupun Yang Berhormat Menteri Kewangan tidak menyebut perkara itu dalam sesi ini, saya membenarkan dipersoalkan.
“Yang Berhormat nak bangkitkan benda-benda yang tidak diucapkan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan, saya putuskan Yang Berhormat-Yang Berhormat di dalam Dewan ini baik-baik, penyokong kerajaan atau pembangkang silakan bertanya,” kata Ramli.
Jelasnya, perkara itu akan dijawab oleh Menteri Kewangan sewaktu sesi penggulungan. – HARAKAHDAILY 21/10/2024
Ulasan
Catat Ulasan