Teruskan legasi Menu Rahmah Salahuddin Ayub
Oleh Muhammad Nizam Abdul Hamid
1 Oktober 2024, 7:01 am
Harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan Begitulah yang terjadi kepada bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Sebut sahaja Menu Rahmah, pasti terbayang nama Salahuddin. Ini kerana beliau yang membawa idea Menu Rahmah pada awal tahun lalu iaitu makanan yang dijual pada harga RM5 sama ada oleh penjaja kecil, restoran mamak atau makanan segera.
Walaupun RM5, setiap set menu itu lengkap dengan sepinggan nasi, satu lauk dan sayur. Boleh dikatakan ia makanan berzat yang seimbang.
Menu Rahmah diperkenalkan ketika orang ramai berhadapan kos sara hidup tinggi dan mengeluh harga makanan di kedai yang mahal.
Menyedari perkara itu, Salahuddin mengambil langkah berani memperkenalkan Menu Rahmah kerana percaya ia masih menguntungkan peniaga.
Kerja keras Salahuddin menjadikan Menu Rahmah satu jenama yang disambut baik oleh banyak pihak. Di pasar malam, bazar Ramadan dan pasar tani, akan ada gerai makanan yang meletakkan tanda ‘Menu Rahmah Madani, Rahmah Itu Berkat.’ Menu tersebut seperti menjadi satu kewajiban bagi peniaga bagi menarik kedatangan pelanggan.
Restoran makanan segera terkemuka juga memperkenalkan Menu Rahmah. Daripada berbelas ringgit satu set makanan, pengguna hanya perlu membayar RM5 untuk satu set air, burger dan kentang goreng.
Selain penjual makanan, peniaga lain juga menggunakan Menu Rahmah sebagai satu promosi barang mereka. Walaupun bukan RM5, pengguna faham peniaga berkenaan cuba memberitahu barangan yang dijual adalah murah.
Kementerian yang diterajui Salahuddin ketika itu bersungguh-sungguh memperkenalkan Menu Rahmah sebagai satu cara dalam berhadapan kos sara hidup tinggi. Malah laman web Menu Rahmah juga dibuka untuk memberitahu kedai-kedai yang menawarkan menu itu.
Kerajaan juga berusaha memberi inisiatif diskaun pembelian bahan mentah kepada peniaga dengan kerjasama enam buah pasar raya bagi mengekalkan penjualan Menu Rahmah.
Namun ketika Menu Rahmah giat diperkenalkan, Salahuddin meninggal dunia pada 23 Julai tahun lalu. Agak malang, program Menu Rahmah juga tidak serancak ketika Allahyarham memperkenalkan menu itu.
Memang ada yang masih menjual makanan Menu Rahmah tetapi tidak lagi menonjol seperti sebelum ini. Sepatutnya usaha baik Salahuddin itu diteruskan terutamanya kalau tiada idea baharu untuk membantu rakyat berhadapan kos sara hidup tinggi.
Memanglah dalam setahun dua ini, ramai yang berjaya keluar daripada kemiskinan tetapi ramai juga yang terus terperangkap. Jika tidak, tidaklah berlaku kes pelajar terpaksa merayu bantuan kewangan untuk masuk ke universiti atau membawa barang ke kampus dengan menggunakan beg guni. – UTUSAN
Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan