Tolong uruskan wang rakyat berhemah


Tolong uruskan wang rakyat berhemah
Oleh Mohamad Azlan Jaafar
28 Oktober 2024, 6:35 am


Belanjawan 2025 telah datang dan pergi. Sebanyak RM421 bilion dirancang kerajaan untuk dibelanjakan tahun hadapan. Daripada jumlah itu RM335 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus manakala RM86 bilion untuk pembangunan.

Sekali lagi kerajaan memecah rekod untuk peruntukan terbesar yang mana Belanjawan 2025 hampir tujuh peratus lebih tinggi berbanding RM393.8 bilion diperuntukkan tahun ini.

Berita baik – defisit kewangan negara dijangka terus menurun apabila kerajaan melaksanakan pelbagai program rasio­nalisasi, pengurangan pembaziran, meningkatkan hasil termasuk menggabungkan pelbagai agensi yang bertindan.

Apa yang lebih nyata, kos mengurus negara semakin me­ningkat. Perbelanjaan mengurus negara mencapai RM335 bi­lion berbanding RM321.5 bilion pada 2024 dan RM311 (2023).

Emolumen dan wang pencen menghampiri RM150 bilion atau lebih 44 peratus daripada keseluruhan peruntukan RM335 bilion yang diperuntukkan. Kakitangan awam berjumlah 1.6 juta mendapat durian runtuh dengan kenaikan gaji bermula 1 Disember 2024 dan kenaikan susulan pada 1 Januari 2026.

Jika dibandingkan pada 1993, perbelanjaan mengurus ha­nya berjumlah RM32.9 bilion. Pada 2010 ia meningkat kepada RM138.3 bilion tetapi menjelang 2018, wang bagi menguruskan negara meningkat kepada RM234.25 bilion.


Jika ingin dilakukan analisis, perbelanjaan untuk gaji penjawat awam adalah RM22 bilion pada 2003, meningkat sehingga kepada RM76 bilion pada 2016. Tahun depan angka untuk emolumen akan melepasi RM100 bilion.

Tidak dapat dinafikan penjawat awam adalah tonggak ope­rasi kerajaan. Guru, doktor, jururawat, polis, tentera dan banyak lagi jawatan memastikan jentera kerajaan beroperasi dengan lancar. Mereka layak mendapat kenaikan gaji yang sewajarnya supaya berada di atas paras kemiskinan di bandar.

Tetapi peningkatan kos mengurus tidak boleh dibenarkan berterusan tanpa peningkatan produktiviti. Apa yang lebih buruk, kos pengurusan kerajaan bukan hanya pada gaji. Ada pihak mengambil kesempatan untuk berbelanja seperti tiada esok hari.

Contoh terbaik, keinginan menghantar lebih 60 kakitangan awam ke satu konvensyen di luar negara. Sebuah kementerian dan agensi bercadang mengadakan lawatan ke sebuah pesta pameran di Berlin, membabitkan 68 orang pegawai.

Intervensi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga penghulu kepada perbendaharaan membatalkan terus lawatan tersebut biarpun rombongan itu sudah menempah tiket penerbangan dan hotel.

Maka hasrat 68 penjawat awam untuk “lawatan bersuka ria” ke Eropah tidak kesampaian. Perkara ini bukan baru. Ia sudah berlarutan selama berdekad lamanya. Ketua Setiausaha Negara dan semua Ketua Pengarah harus bertanggungjawab terhadap perbelanjaan mengurus di setiap kementerian.

KSN dan Ketua Pengarah bukan hanya pentadbir. Mereka adalah ketua pegawai eksekutif dan ketua pegawai kewa­ngan di setiap kementerian. Mereka harus berani untuk me­ngatakan “Tidak” kepada setiap cadangan perbelanjaan yang mem­bazirkan.

Harus diingat, wang itu adalah milik pembayar cukai. Golo­ngan T20 menyumbang 80 peratus kepada dana cukai kerajaan. Sekurang-kurangnya, bertanggungjawablah dalam menguruskan dana kerajaan. Ia bukan wang percuma.

Apa yang lebih menarik, apabila operasi “penggabungan” agensi dan jabatan yang bertindih. Ia akan menyaksikan ramai lembaga pengarah yang sebahagian besar yang hanya makan gaji buta akan kehilangan wang percuma.

Ia langkah berani untuk menggabungkan syarikat dan agensi kerajaan yang bertindan. Tiada lagi pembaziran wang mengurus. Masa untuk bersuka ria sudah berakhir.

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd. – UTUSAN

Ulasan