Oleh Zabry Mohamad Madzlan
25 Oktober 2024, 7:00 am
PRANK. Dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan tersebut membawa maksud seloroh yang keanak-anakan. Tapi, kalau sudah tahu perbuatan itu tidak matang, kenapa nak buat juga?
Sering kali kita lihat dalam media sosial sejak kebelakangan ini, prank seolah-olah sudah menjadi budaya kita. Terutama membuat kejutan (surprise) bagi menyambut hari jadi pasangan khususnya wanita sama ada isteri, tunang mahupun kekasih.
Contohnya, baru-baru ini tular video di mana seorang isteri juga ibu kepada satu keluarga dipermain mainkan kononnya suami/bapa bawa balik wanita lain ke dalam bilik tidur mereka. Wanita itu yang bergegas pulang ternyata marah dah sedih apabila dikejutkan dengan kek hari jadi oleh suami dan anak-anaknya.
Kalau menonton video berkenaan, dapat dilihat raut wajah wanita itu perasaan dukacita, marah, geram. Bagaimanapun, semua perasaan itu diabaikan dan di biarkan hanya kerana mahu buat kandungan media sosial. Memanglah bagus niat mereka mahu menyambut hari istimewa dengan membuat gurauan, namun kalau sudah sampai menyakiti serta menghancurkan hati, itu sangat keterlaluan.
Hati dan perasaan tidak boleh dibuat main. Bukan lagi gurauan namanya kalau sudah mematahkan hati dan menjatuhkan air mata. Kau hancurkan hati dia, kemudian kau buat kejutan dengan bagi hadiah. Maaf, itu bukan kelakar.
Kalau nak buat kandungan media sosial sekalipun, janganlah libatkan hati pasangan. Hati bukan bahan viral untuk ‘diperdagangkan’ dalam media sosial.
Dari sudut psikologi, wanita itu pasti akan trauma setiap kali tiba tarikh hari jadinya. Kalau tidak percaya, tanyalah mereka yang pernah jadi mangsa prank sebegini. Dia akan ingat sampai bila-bila.
Dari sudut agama, mufti pun sudah bersuara dalam isu prank bahawa umat Islam perlu mengelak daripada mengikut budaya Barat yang tidak memberi manfaat kepada mereka. Kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman, walaupun prank dianggap gurauan biasa tapi apabila melibatkan penipuan, ia boleh membawa ke pada situasi tidak diingini. Beliau mengulas kejadian seorang suami melakukan prank terhadap pasangan kononnya berlaku curang sehingga menyebabkan si isteri pulang ke rumah menunggang motosikal dalam keadaan panik sehingga terbabit nahas jalan raya.
Bukan tidak boleh prank sama sekali, buatlah, tapi biarlah kedua-dua pihak berasa seronok dengan gurauan tersebut.
Rasulullah SAW sendiri pun ada seorang sahabat yang sering membuatkan baginda tertawa, iaitu Nu’aiman bin Amr bin Rafa’ah. Diceritakan karakter Nu’aiman ini seorang yang nakal dan sering mengusik orang termasuk Rasulullah SAW.
Justeru, tidak salah buat prank. Tapi kalau melampau sangat sehinggakan menipu, menakut-nakutkan, membuka aib, menyinggung perasaan – hentikanlah! – UTUSAN
Zabry Mohamad Madzlan ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.
Ulasan
Catat Ulasan