Usia hanyalah angka, sanah helwah buat Ayah Chik


Usia hanyalah angka, sanah helwah buat Ayah Chik
October 20, 2024

Tuan Guru Abdul Hadi Awang

“BAGAIMANA dengan perkembangan Hamas sekarang Ayah Chik, mengapa Yahya Sinwar, Dr Musa, Khalid…bla bla,” aku memulakan kata bual standard pelajar minggu orientasi Tingkatan Enam sambil menemani Ayah Chik makan di kenduri walimah di Kampung Tok Has Jerteh tiga minggu lepas. Beliau berbesan dengan orang Besut kali ini dan ini sangat menggembirakan hati kami warga Besut.

Daerah agrarian ini paling kurang terselit perasan bangga apabila dua menantunya adalah anak Besut. Sesepuh perjuangan ini baru pulang daripada Tehran dan Istanbul, menghadiri sidang antarabangsa gerakan Islam. Pergerakan sosok ini sering memicu perhatian media, sama ada untuk pelaporan negatif atau sebaliknya. Dia tak peduli kerana kebenaran wajib digaris hadapan tanpa perlu bermanis muka dengan tuntutan populis!

“Oh, Yahya ada banyak kelebihan. Dr Musa juga ada kelebihan, Khalid juga ada kelebihan. Yahya menguasai bahasa serta tulisan Hebrew. Beliau belajar semasa dalam penjara Israel. Beliau banyak mengetahui strategi Zionis kerana kebolehan ini,” tukas pimpinan utama Gerakan Islam ini sambil mengulas kulit buah dokong.

Ayah Chik juga bercerita tentang tentang tekanan kuat yang diterima oleh Qatar akibat melindungi pimpinan Ikhwan dan HAMAS. Ahzab moden sedang mengganas dan umat Islam wajib bersatu. Suara hati figura gerakan Islam antarabangsa ini sering diluahkan di pelbagai forum dalam dan luar negara.

Sedekad ini kita semua mengikuti dengan dekat sosok tubuh yang berjasa dalam gerakan Islam dalam dan luar negara ini. Tuan Guru Abdul Hadi walau sedikit keuzuran dan rakyat terbanyak mendoakan ilmuan ini agar sembuh untuk terus menebarkan ilmu dan memimpin ummat.

Beliau berusaha menghadiri pelbagai program, termasuk minggu lepas dalam mesyuarat PAS Pusat, kuliah duha daripada Masjid Rusila terus mencerahkan akal kecuali beliau di luar negara. Sepatutnya Ayah Chik berehat seketika daripada kepadatan program, namun digunakan untuk terus memerah akal dan menghasilkan tulisan yang mencerahkan tentang politik Asia Barat, nasihat-nasihat berguna untuk para amilin serta ummah keseluruhannya.

Aku teringat saat Àyah Chik dimasukkan ke IJN tahun lepas, kondisi itu sepatutnya adalah ruang masa untuk berpangku lengan dan berehat panjang, figura ini terus meninta dan mengasah akal dengan meminta anakandanya Dr Mohd Khalil untuk mengusung komputer bimbit ke IJN. Itulah karektor sebenar Ayah Chik yang aku kenali dan kalian kenali, namun para pembenci tak pedulikan itu semua kerana mereka sudah mewarnakan hitam pada apa sahaja berkaitan dengan tuan guru. Lihat sahaja komen-komen toksid di portal MalaysiaKini, pelbagai portal pulak liberal negara ini terhadap Presiden PAS ini. Tidak bersahabat malah seperti orang gasar watak kelakunya.

Tuan Guru dengan sikap pemaaf dan tak peduli akan kecaman para pembenci terus bergerak ke mana sahaja, turut diheret jasadnya, sekali dengan ilmu yang akan keluar daripada akal dan mulutnya. Masa lapangnya dipadatkan untuk menulis buku dan membaca. Hampir seratus buah buku yang telah ditulis termasuk dalam bahasa Arab, satu pencapaian besar sebagai ilmuan dan mufakkir islam.

Aku pernah menjadi saksi mata bagaimana tekunnya sang ulama ini menulis dan melakar aksara walau dalam ruang masa terbatas. Dalam satu pemusafiran ke Afrika Utara bersama beliau sembilan tahun lepas, dimanfaatkan setiap masanya di dalam penerbangan untuk menulis.

Tidak pelik akalnya tajam mengingat fakta dan analisa kerana beliau merencah kehidupannya dengan membaca dan menulis. Penulis ialah insan yang lumayan pahala kata Buya Hamka, saat sang penulis tidur sekali pun, pahala tetap mengalir. Bahan penulisan akan kekal dibaca dan menjadi rujukan daripada satu generasi ke satu generasi yang lain. Banyak juga buku-buku lama Ayah Chik diberi nafas baru oleh penerbit baru, industri buku tidak lagi meriah namun jualan buku secara maya masih lagi rancak.

Seluruh hidupnya diwakafkan untuk perjuangan Islam dan dakwah, beliau figura antarabangsa yang dimiliki oleh negara kita walaupun diterjang tanpa henti oleh pembencinya sepanjang zaman. Dia tak lelah menyampaikan ilmu dan terus mencari ilmu, walau sesibuk mana sekali pun menggalang jawatan penting dalam parti dan kerajaan.

Saat belahan negara Arab sedang dibadai fenomena Arab Spring, pandangan beliau dipinta oleh tokoh-tokoh besar gerakan Islam di Timur Tengah. Bagaimana harus untuk gerakan Islam memanfaatkan ruang untuk berpencak dipentas demokrasi persaingan kuasa, mengurangkan intriq antara pesaing dan juga memicu perubahan dalam ruang demokratik yang dibenarkan.

Ikhwanul Muslimin akhirnya menubuhkan sayap politiknya, FJP serta berjaya mengadakan pemuafakatan politik dengan parti-parti yang lain. Nasihat Sheikh Abdul Hadi umpama ketulan-ketulan emas pengalaman yang sangat bernilai kerana PAS yang dipimpin oleh beliau telah memasuki dekad ke tujuh bertarung dimedan dakwah, tarbiah serta siasah.

Apa yang abnaul harakah perlu belajar daripada Ayah Chik? Pertama ialah, bagaimana masa dan kehidupan perlu diuruskan dengan sebaik mungkin kerana masa kehidupan adalah modal yang akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah. Seorang pemimpin dan ahli-ahli tetap mempunyai masa yang sama dalam sehari, namun bagaimana untuk menguruskan masa semoga menjadi ketulan zamrud yang bermanfaat kepada ummat.

Bagaimana memanfaatkan masa jika kita habiskan dengan berlabun, berlamaan dengan gajet, menonton televisi, mengumbar, tidur yang panjang, rehat yang tak kesudahan? Berapakah masa yang kita peruntukkan untuk membaca dalam sehari, masa yang diperuntukkan untuk mengkaji dan mentadabbur ayat-ayat al Quran?

Ramai kalangan kita sentiasa kagum dan teruja dengan tokoh-tokoh hebat dalam perjuangan Islam, al Banna dan angkatannya, juga tokoh-tokoh dalam tanah air seperti Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Almarhum Ustaz Dato’ Harun Taib, Almarhum Ustaz Yahya Othman, Almarhum Ustaz Hasan Shukri. Namun adakah kita mengambil iktibar dan bercermin dengan tokoh-tokoh ini memanfaatkan masa mereka untuk ummah?
Riduan Mohamad Nor

Bagi aku, Ayah Chik mengajar kita semua agar menakluki setiap detik inci masa dengan kerja bermanfaat, terutama sang pemimpin. Mencerahkan akal masyarakat dengan ucapan dan tulisan, menjauhi intriq dan polemik, apatah lagi obses dengan harta benda melalui jawatan yang dipegang.

Jom, kita belajar sesuatu daripada Ayah Chik sempena hari ulang tahun kelahiran tokoh murabbi ummah ini yang ke-77. Sanah helwah Ayah Chik, moga terus memimpin kami semua menggalang gerak kerja amal Islami serta mencerdaskan akal ummah. – HARAKAHDAILY 20/10/2024

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

Ulasan