
30,000 nelayan kecil terjejas
PENCEROBOHAN bot pukat tunda di zon yang digazetkan menjejaskan sumber pendapatan nelayan kecil. - GAMBAR HIASAN
Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
16 November 2024, 6:30 am
PUTRAJAYA: Kira-kira 30,000 nelayan kecil terus berdepan isu pencerobohan bot pukat tunda di zon yang digazetkan kepada kumpulan itu sehingga menjejaskan sumber perikanan di kawasan berkenaaan.
Penceroboh bot pukat tunda itu bukan sahaja mengaut hasil laut di zon perikanan nelayan tradisional (Zon A) hingga menjejaskan pendapatan nelayan, malah mereka meninggalkan pukat sekali gus memusnahkan unjam dan tukun dibina nelayan kecil.
Tukun ialah struktur binaan manusia yang diletakkan di dasar laut bertujuan menambah kepadatan sumber marin, manakala unjam merupakan struktur bahan semula jadi seperti daun kelapa yang diikat dan diapungkan di permukaan air laut bertujuan mengumpulkan ikan bagi penangkapan.
Timbalan Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Mohd. Faizal Mohd. Zabri berkata, kegiatan berkenaan telah mengurangkan hasil tangkapan secara drastik, menyebabkan kawasan yang dahulunya banyak ikan, kini seolah-olah tiada hidupan.
“Pukat tunda digunakan nelayan zon lain tersangkut dan ditinggalkan di kawasan tukun dan unjam nelayan kecil sering kali menjerat ikan-ikan.
“Ia bukan sahaja merugikan sumber laut, malah ikan yang mati terbiar di kawasan tukun dan unjam itu membusuk dan menjadi penghalang untuk ikan lain datang membiak ke kawasan tersebut,” katanya di sini, semalam.
Mohd. Faizal berkata, keadaan itu merugikan pendapatan nelayan sehingga mencecah jutaan ringgit kerana sumber hasil perikanan di kawasan zon mereka semakin berkurangan.
Malah, katanya, nelayan terpaksa membersihkan pula ‘pukat-pukat hantu’ yang ditinggalkan.
Malah kerja-kerja pembersihan, membabitkan kos tinggi untuk membayar perkhidmatan penyelam sehingga mencecah RM50,000 yang terpaksa ditanggung Jabatan Perikanan.
“Kos kerugiaan semakin banyak, ratusan ribu hasil perikanan juga sudah habis kerana hampir 80 peratus ikan tak masuk kawasan itu,” katanya.
Dalam hal ini, beliau meminta agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Perikanan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Marin melaksanakan penguatkuasaan lebih tegas dan kerap.
Mengikut Pekeliling 2014, pengusaha vesel pukat tunda yang menceroboh kawasan perairan nelayan tradisional (Zon A) boleh dikenakan hukuman berat dengan menggantung lesen sehingga setahun dan lesen tidak boleh dipindah milik selama lima tahun serta kompaun sehingga RM12,000.
Bagaimanapun, katanya, tindakan penguatkuasaan dilihat lemah apabila penceroboh seolah-olah ‘dilepaskan semula’ apabila mereka kembali beroperasi tidak mengikut tempoh hukuman sebenar walaupun ditahan. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan