68 mohon sertai PAS sempena perasmian Rumah Budi



68 mohon sertai PAS sempena perasmian Rumah Budi
November 11, 2024

ROMPIN: PAS Kawasan Rompin terus mengukuhkan sokongan masyarakat terhadap parti dengan menyerahkan 68 borang permohonan keahlian baru kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Dato’ Rosli Abdul Jabar.

Penyerahan borang tersebut berlangsung sempena Majlis Perasmian Rumah Budi 3.0 oleh Ustaz Rosli di Felda Keratong 1, semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat, Dr Rosni Adam, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Andansura Rabu, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS negeri, Rohaya Razali.

Ketua Penerangan PAS kawasan, Syed Razman Syed Mohamad, berkata kempen keahlian yang dijalankan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Ibam selama dua minggu membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh setiap cawangan PAS dalam usaha mencari ahli baru, serta mengalu-alukan penyertaan ahli UMNO yang turut memilih untuk menyertai PAS.

“Permohonan ini adalah hasil usaha gigih cawangan PAS di Bukit Ibam, dan saya amat berterima kasih kepada semua yang terlibat.

“Ini menunjukkan penerimaan masyarakat terhadap PAS semakin meningkat,” katanya selepas majlis perasmian tersebut.

Razman juga menegaskan bahawa kempen keahlian akan diteruskan dengan lebih giat dalam usaha merealisasikan hasrat PAS untuk menerajui politik negeri Pahang.

“Kita akan terus giat berkempen untuk menambah ahli dalam usaha mengekalkan kemenangan di Bukit Ibam dan merealisasikan hasrat PAS Teraju Pahang,” katanya yang juga merupakan Setiausaha DUN Bukit Ibam.

Pada majlis tersebut, Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Nazri Ahmad turut menerima 33 keping sijil keahlian baru daripada Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil, sebagai simbol pengiktirafan kepada ahli-ahli baru yang menyertai PAS. (Foto atas)

Dengan sokongan yang semakin meningkat, PAS Kawasan Rompin terus komited untuk memperkukuhkan lagi jaringan ahli dan pengaruhnya di seluruh negeri Pahang. – HARAKAHDAILY 11/11/2024

Ulasan