75 peratus rumah rosak akibat ribut siap dibaiki
November 3, 2024
Dato' Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar
KUALA TERENGGANU: Kerja-kerja pembaikan rumah yang rosak akibat ribut di seluruh Terengganu kini telah mencapai 75 peratus siap.
Menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar, kebanyakan kerosakan yang dialami penduduk adalah melibatkan bumbung rumah yang tercabut.
“Semua yang kita kenal pasti bukan Kemaman sahaja, seluruh negeri Terengganu sebenarnya ada kecuali yang sangat minima di Dungun dan Kuala Nerus.
“Semua dalam proses pembaikan, saya rasa 75 peratus sudah siap sebab yang banyak kena atap tercabut dan tak boleh pakai.
“Jadi membaiki atap ini lebih cepat (diselesaikan) berbanding kerosakan struktur bangunan tapi tidak ada” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu Tahun 2024, di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Sehingga kini, kata beliau, anggaran kos keseluruhan untuk pembaikan di seluruh negeri adalah sekitar RM4.2 juta.
“Kita terus ke (proses) pembaikan kerana itu yang mustahak, atap atau struktur yang rosak tapi struktur sangat minima berbanding tercabut atap,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai bantuan kewangan sebanyak RM1,000 yang pernah disalurkan kepada mangsa bencana sebelum ini, Samsuri berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dengan kerajaan persekutuan.
“Kita perlu berbincang terlebih dahulu,” katanya.
Untuk rekod, ribut kuat yang melanda pada bulan September dan Oktober lalu telah menjejaskan sejumlah 1,177 buah rumah di seluruh negeri. – HARAKAHDAILY 3/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan