Apakah bentuk sokongan Pusat realisasi Tahun Melawat Kedah?
November 13, 2024
Dr Abd Ghani Ahmad
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah meluluskan sebanyak RM11,362,385 bagi melaksanakan 54 projek kepada Negeri Kedah Dalam tempoh Rancangan Malaysia Keduabelas (RMKe-12) (RP1 sehingga RP4).
Menurut menterinya, MOTAC mengalu-alukan cadangan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) dan bersedia untuk mempertimbangkan sebarang permohonan produk-produk pelancongan baharu selaras dengan hala tuju dan keutamaan Kerajaan Negeri Kedah melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah bagi membantu menaiktaraf infrastruktur kemudahan pelancongan di Negeri Kedah demi menyokong industri pelancongan tempatan sekaligus dapat membantu dalam merancakkan sambutan Tahun Melawat Kedah 2025.
Beliau menyatakan perkara itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Abd Ghani di Dewan Rakyat, semalam.
Abd Ghani dalam soalannya meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan apakah bentuk sokongan Kerajaan Persekutuan yang diberikan kepada negeri Kedah dalam merealisasikan Tahun Melawat Kedah 2025.
Kata menteri itu lagi, MOTAC melalui agensinya Tourism Malaysia kekal komited dalam mempromosikan sektor pelancongan domestik secara berterusan bagi memastikan pertumbuhan industri pelancongan domestik positif.
Antara usaha yang dilaksanakan bagi menjayakan penganjuran Tahun Melawat Kedah yang akan diadakan pada tahun 2025 adalah mengadakan bengkel-bengkel pembangunan pakej serta seminar bagi membantu pengusaha pelancongan membangunkan pakej-pakej di Negeri Kedah yang lebih menarik dan berdaya maju, menjemput pemain industri dari negeri Kedah untuk menyertai misi jualan dan pemasaran, mengadakan program lawatan suai kenal melibatkan media cetak, media elektronik dan influencer ke negeri Kedah.
Di samping itu, katanya membawa masuk krew-krew penggambaran televisyen untuk membuat liputan serta membuat pengambaran di kawasan pelancongan di Negeri Kedah, menyokong agensi pelancongan dengan membiayai kos mencetak Fun Map Negeri untuk diletakkan di premis pelancongan seperti di Terminal Feri, hotel-hotel di sekitar negeri Kedah dan pejabat SUK Kedah.
Selain itu, ujarnya menyebarkan maklumat produk pelancongan negeri kepada pelancong melalui Pejabat-pejabat Tourism Malaysia Wilayah dan Pusat Penerangan Pelancongan di seluruh Malaysia dan Pejabat Luar Negara serta melalui laman web Tourism Malaysia, penyebaran maklumat pelancongan di Kedah yang lebih meluas terutamanya secara atas talian di laman sesawang www.malaysia.travel, media sosial rasmi Tourism Malaysia, influencer media sosial serta e-brochure; dan mempromosikan Kedah di serata dunia melalui program- program peringkat antarabangsa yang disertai dengan menggunakan slogan Malaysia Truly Asia.
Tambahnya, antara program-program promosi antarabangsa yang disertai termasuklah International Tourisme Borse (ITB) di Berlin, Arabian Travel Mart (ATM) di Dubai dan ASEAN Tourism Forum (ATF) di negara-negara ASEAN. – HARAKAHDAILY 13/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan