
B40 paling ramai hidap kencing manis
PUTRAJAYA, 29 OKTOBER 2023 - Peniaga, Siti Hajar Hussin, 26 bergambar ketika Kempen Kurangkan Gula 2023 di Medan Selera Presint 16, Putrajaya di sini, hari ini. FOTO - FAIZ ALIF ZUBIR/PEMBERITA - HUSNI
Oleh INTAN SUHANA CHE OMAR
21 November 2024, 9:00 am
Golongan berpendapatan rendah atau B40 paling tinggi menghidap penyakit kencing manis di negara ini.
Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), prevalens kencing manis dan hipertensi adalah tertinggi dan paling cepat meningkat dalam kalangan isi rumah berkenaan.
Malah, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 (NHMS) menunjukkan sindrom metabolik iaitu sekumpulan keadaan yang merangkumi peningkatan tekanan darah, peningkatan gula, lemak badan berlebihan di pinggang dan kadar kolesterol tidak normal lebih tinggi dalam kumpulan B40 (41 peratus) berbanding M40 (30 peratus) dan T20 (35 peratus).
Sindrom metabolik ini sekiranya tidak dirawat boleh meningkatkan risiko penyakit jantung, strok dan juga diabetes.
Ketua Unit Rawatan Diabetes, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Lim Lee Ling berkata, situasi itu berkemungkinan berlaku disebabkan oleh tekanan psikologi dan persekitaran.
“Kajian telah menunjukkan kaitan antara pendapatan rendah dan prevalens diabetes yang lebih tinggi.
“Akses terhad kepada penjagaan kesihatan berkualiti tinggi serta pemakanan yang kurang baik juga meningkatkan risiko golongan kurang berkemampuan kepada diabetes,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Untuk rekod, NHMS yang dikeluarkan pada Mei 2024 menunjukkan sejumlah 3.6 juta atau 15.6 peratus rakyat Malaysia menghidap kencing manis atau diabetes mellitus (DM).
Mengikut pecahan kaum, prevalens tertinggi DM adalah dalam kalangan orang India (18.5 peratus), diikuti oleh Melayu (11 peratus), Cina (8.5 peratus) dan Bumiputera Sarawak (7.9 peratus).

Jangan ambil mudah
Walaupun DM atau kencing manis ini sudah sebati dalam masyarakat Malaysia, namun Lee Ling mengingatkan rakyat agar tidak memandang ringan penyakit tersebut.
Apatah lagi, dengan anggaran bahagian penduduk Malaysia yang terjejas akibat diabetes dijangka meningkat kepada 20.01 peratus pada 2024 berbanding hanya 15.6 peratus sebelum ini.
Diabetes, terutama jenis 2, adalah faktor risiko yang ketara untuk kedua-dua penyakit buah pinggang kronik (CKD) dan penyakit kardiovaskular (CVD).
Keadaan yang saling berkaitan ini dikenali secara kolektif sebagai sindrom metabolik kardiovaskular-buah pinggang (CKM) yang melibatkan kegagalan fungsi serentak pada jantung, buah pinggang dan sistem metabolik.
“Pesakit dengan sindrom CKM mengalami kitaran ganas di mana kegagalan fungsi jantung dan buah pinggang berterusan antara satu sama lain menjadikan rawatan lebih mencabar.
“Tahap gula dalam darah yang tinggi secara berterusan disebabkan oleh diabetes pula boleh menyebabkan kerosakan pada saluran darah dan saraf.
“Keadaan itu sekaligus menjadikan peredaran darah menjadi terhad, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi. kerosakan ini meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular di samping mengurangkan fungsi buah pinggang,” jelasnya.

Diagnosis awal
Diagnosis dan rawatan awal boleh mengurangkan risiko komplikasi jangka panjang seperti penyakit jantung, strok, kegagalan buah pinggang, kerosakan saraf dan penglihatan.
“Komplikasi ini sering berlaku selepas bertahun-tahun glukosa darah tidak terkawal, tetapi diagnosis dan rawatan awal boleh melambatkan atau mencegah komplikasi berkenaan.
“Selain itu, diabetes adalah salah satu punca utama CKD. Rawatan awal boleh membantu melambatkan permulaan kegagalan fungsi buah pinggang sekali gus mengurangkan kemungkinan memerlukan dialisis atau pemindahan buah pinggang,” katanya.
Tambah Lee Ling, mendapatkan rawatan awal sekiranya disahkan menghidap penyakit itu akan memberikan kualiti hidup yang lebih baik kepada pesakit.
Menguruskan diabetes sejak awal membantu individu meningkatkan keupayaan berfungsi dan kesihatan keseluruhan serta berpotensi mengurangkan tekanan, kebimbangan dan kemurungan.
Ia juga mengurangkan risiko dimasukkan ke hospital akibat komplikasi dan keadaan teruk seperti ketoasidosis diabetik.
“Diagnosis awal dan pengurusan diabetes jenis 2 yang tepat pada masanya terutamanya dalam pradiabetes boleh menghalang atau melambatkan perkembangannya.
“Ini boleh dicapai melalui perubahan gaya hidup seperti pemakanan sihat, aktiviti fizikal yang kerap atau ubat-ubatan tertentu,” ujarnya.
Kemajuan rawatan
Mengulas mengenai rawatan yang tersedia, kata Lee Ling, kemajuan terapeutik terkini telah mengubah pengurusan diabetes dengan menawarkan kawalan yang lebih baik ke atas paras glukosa darah dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.
Inovasi seperti sistem pemantauan glukosa berterusan (CGM) menjadikan pengurusan diabetes lebih tepat dan kurang membebankan.
“Peranti ini menyediakan data masa nyata tentang paras gula dalam darah sekali gus membolehkan pesakit maklum mengenai pemakanan, senaman dan penggunaan insulin mereka.
“Di samping itu, ubat-ubatan seperti perencat SGLT2 dan agonis reseptor GLP-1 boleh membantu menurunkan darah paras gula serta menawarkan perlindungan kardiovaskular dan buah pinggang.
“Ini amat bermanfaat kepada penghidap diabetes kerana mereka berisiko tinggi terhadap penyakit buah pinggang dan jantung,” jelasnya.

Cegah diabetes
Walaupun B40 berkemungkinan mempunyai akses yang terhad kepada penjagaan kesihatan berkualiti, namun bukan bermakna golongan ini tidak boleh mencegah diabetes.
Amalan gaya hidup yang baik dan menguruskan faktor risiko dengan betul mampu melindungi setiap individu daripada penyakit berbahaya ini.
Antara yang disarankan Lee Ling adalah mengamalkan pemakanan yang sihat dengan pengambilan diet yang kaya dengan bijirin penuh, buah-buahan, sayur-sayuran, protein tanpa lemak dan lemak sihat.
Elakkan makanan yang diproses tinggi dan minuman manis serta amalkan suku-suku separuh seperti yang disyorkan oleh Persatuan Nutrisi Malaysia.
“Makan secara sederhana adalah penting kerana mengawal saiz bahagian boleh membantu mengekalkan berat badan yang sihat dan mencegah lonjakan gula dalam darah.
“Berat badan yang berlebihan terutamanya di sekitar perut meningkatkan risiko diabetes dan komplikasi kardiovaskular-buah pinggang.
“Kehilangan lima hingga 10 peratus berat badan boleh mengurangkan risiko diabetes jenis 2 dengan ketara,” jelasnya.
Selain pemakanan, pertimbangkan juga aktiviti fizikal bagi mengurangkan risiko diabetes seperti berjalan, berenang dan latihan kekuatan.
Ulasan
Catat Ulasan