Banjir, bekalan air Kelantan perlu penyelesaian segera
November 25, 2024
KUALA LUMPUR: Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), menegaskan bahawa isu banjir tahunan dan krisis bekalan air di Kelantan memerlukan penyelesaian segera.
Beliau menyeru Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA)mempercepatkan pelaksanaan projek pengurusan banjir dan meningkatkan kecekapan bekalan air di Kelantan.
Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat itu, banjir di kawasan Pasir Mas semakin membimbangkan, terutama menjelang musim tengkujuh.
Beliau menjelaskan bahawa, lebih 50 peratus kawasan itu dijangka menerima limpahan air dari Selatan Thailand dalam tempoh tiga minggu akan datang jika tiada langkah mitigasi diambil.
“Inilah yang kami hadapi setiap tahun iaitu apabila berlaku sahaja musim tengkujuh, kami menerima limpahan air daripada Thailand.

“Saya ingin bertanya kepada PETRA, walaupun mungkin ia juga berkait dengan kementerian lain, berkenaan dengan projek tebatan banjir ataupun projek lembangan sungai bersepadu,
“Bilakah ia akan dapat disiapkan sepenuhnya dalam usaha untuk menghalang limpahan air daripada Thailand khususnya untuk melimpah ke Malaysia sepertimana yang ada pada hari ini?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, Ahmad Fadhli turut mendesak perhatian serius terhadap masalah air tidak berhasil (NRW) dan bekalan air di Kelantan.
Beliau meminta Timbalan Menteri menyatakan pelan konkrit yang boleh diumumkan di Dewan Rakyat untuk menyelesaikan isu berkenaan. – HARAKAHDAILY 25/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan