Baru tahu belia Kelantan suka berhibur di Golok?


Baru tahu belia Kelantan suka berhibur di Golok?
Oleh Teon Eg
6 November 2024, 7:00 am

PENDEDAHAN Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat Isnin lalu bahawa ramainya belia Kelantan suka masuk Golok, Thailand untuk berhibur tidak mengejutkan. Tetapi lebih ramai yang disyaki buat-buat terkejut, ala tidak pernah dengar apatah lagi nampak.

Logiklah sedikit, pekan Golok dan Rantau Panjang itu orang sebelah sini panggil orang sebelah sana pun boleh dengar. Rakyat kedua-dua belah negara di situ pula jika mahu boleh keluar masuk 20 kali sehari tanpa isu. Bagi mereka hanya yang malang sahaja kena pintas atau kena kejar dengan pihak berkuasa. Jadi, bagi penduduk di kawasan sempadan Golok, Bukit Bunga dan Takbai keluar masuk antara kedua-dua negara di situ perkara biasa sejak turun-temurun.

Sepanjang Sungai Golok sejauh kira-kira 100 kilometer dari Pengkalan Kubur ke Rantau Panjang boleh dijadikan pangkalan haram ada di mana-mana. Mustahil untuk penguat kuasa menjaga setiap inci sempadan. Lagipun, bab menyusup sempadan tentu-tentulah penduduk yang dibesarkan di kawasan tersebut lebih arif dengan Sungai Golok berbanding pengawasan penguat kuasa yang bukan orang di situ.

Malah, aktiviti mengangkut gula, tepung, minyak masak paket bersubsidi dan minyak RON95 ke negara jiran juga susah untuk penduduk setempat melihat kegiatan itu sebagai satu kerja salah. Ini kerana sejak dilahir aktiviti itu sudah ada dan ada pula dalam kalangan mereka yang membesar dan bergelar seseorang walaupun hidup dalam keluarga yang me warisi aktiviti penyeludupan.

Jadi apabila Mohd. Yusoff yang baru menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Kelantan mendedahkan bahawa terlalu ramai belia Kelantan masuk ke pekan Golok untuk berhibur sebenarnya perkara itu hanyalah biasa. Dari dulu hingga kini aktiviti seperti itu berterusan.

Bukan setakat untuk berhibur malah untuk sambut hari jadi pun ramai memilih Golok. Yang kecewa atau mahu menyendiri pun pergi ke Golok.

Namun pendedahan tersebut yang mendapat liputan meluas media mengundang pelbagai komen. Maklumlah yang didedahkan polis, belia yang mendiami negeri serambi Mekah.

Mereka dikatakan terlalu ramai sehingga sanggup beratur menunggu untuk masuk ke pusat hiburan di Golok.

Meninjau ruangan komen ada juga yang tidak percaya bahawa yang didedahkan itu belia Kelantan. Kumpulan tersebut mendakwa golongan yang masuk ke Golok itu belia dari negeri lain.

Adakah maksud mereka mahu kata orang Kelantan tidak ada yang gemar berhibur? Malah menerusi isu tersebut tidak kurang ada yang sedang menjadikan modal politik. Masing-masing terus berhujah dengan dalil-dalil yang entah dari mana.

Namun, kesimpulannya, daya penarik sebelah Siam sangat kuat kerana pekan seperti Golok bukan sahaja sekadar untuk berhibur tetapi syurga untuk segala-galanya. Sebut sahaja untuk makan, beli-belah, kesihatan dan meraikan hari istimewa pekan-pekan di sempadan Thailand menjadi pilihan.

Jangan melihat hanya pekan Golok tetapi Danok di Padang Besar dan Hatyai lebih meriah seolah-olah menjadi tempat pengumpulan rakyat Malaysia dari semua negeri.

Mengikut laporan akhbar ini, dianggarkan lebih RM100 juta duit rakyat Malaysia mengalir ke Thailand berikutan hampir 100,000 pelancong mengunjungi negara itu pada cuti Hari Malaysia 16 September lalu.

Melihat trend tersebut Thailand diramal akan terus menjadi syurga buat rakyat Malaysia untuk berseronok. – UTUSAN

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Ulasan