Bersih beri markah D kepada Kerajaan Perpaduan

Bersih beri markah D kepada Kerajaan Perpaduan

19 November 2024 09:48pm
Masa membaca: 2 minit

Muhammad Faisal (tiga dari kanan) bersama Maria (dua dari kanan) dan Thomas (dua dari kiri) ketika merasmikan Laporan Penilaian Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) oleh Bersih di sini, pada Selasa. Foto ihsan Adom Teh/Bersih

KUALA LUMPUR - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) memberikan gred D iaitu 45.8 peratus kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun mentadbir negara.

Pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pemarkahan yang diberi menunjukkan wujud jurang signifikan dari aspek kemajuan, progres dan tindakan ke arah pelaksanaan reformasi.


Menurut beliau, pihaknya ingin menekankan bahawa manifesto pilihan raya tetap terikat walaupun parti lain menyertai gabungan dan ia sepatutnya memberikan kelebihan dalam memenuhi kesemua agenda reformasi.

“Dalam 70 peratus skala pemarkahan akauntabiliti manifesto merangkumi reformasi pilihan raya, status dua daripada tujuh komponen dalam progres, manakala selebihnya tidak dilaksanakan.

“Bahagian reformasi institusi, lima dari 18 berjaya dilaksanakan, tujuh dalam proses dan lain-lain tidak dipenuhi. Kebebasan awam pula tiga sudah dibuat, dua dalam proses serta tiga tidak terlaksana.

“Berkenaan penanda aras perbandingan dengan beberapa perdana menteri sebelumnya pula, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya capai skor 18 dari 30 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika forum ‘Adakah Kita Mencapai Perubahan’ sekali gus merasmikan Laporan Penilaian Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) di sini, pada Selasa.

Hadir sama, bekas Pengerusi Bersih 2013-2018, Maria Chin; mantan Pemangku Pengerusi Bersih 2018, Shahrul Aman dan bekas Pengerusi Bersih sesi 2018-2023, Thomas Fann.

Ulasan