Guru KAFA disaran sebagai penjawat awam
November 4, 2024
Mohd Misbahul Munir Masduki
KUALA LUMPUR: Guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) disarankan untuk dilantik sebagai penjawat awam, seperti guru-guru di bawah Kementerian Pendidikan.
Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) berkata, elaun atau gaji dibayar mengikut kelayakan akademik yang ada pada mereka.
Menurutnya, guru KAFA juga mempunyai keluarga dan anak-anak yang ingin memiliki kereta serta rumah.
“Namun dengan slip elaun yang diterima sukar untuk buat pinjaman dengan bank bagi membiayai pembelian tersebut,” ujar beliau.
Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa guru KAFA bukanlah penjawat awam dan hanya memegang jawatan kontrak dengan elaun antara RM1,000 hingga RM1,500 tanpa kenaikan yang tetap.
Tambahnya, guru KAFA juga tidak menikmati kenaikan pangkat, pencen, atau gratuiti selepas tamat perkhidmatan, serta tiada kemudahan lain seperti kos rawatan, caj ubat, dan skim pembiayaan untuk pembelian kenderaan dan perumahan.
Terangnya lagi, guru KAFA berkhidmat dengan dedikasi dari mula dilantik hingga tamat perkhidmatan, namun elaun mereka kekal rendah di bawah RM2,000 walaupun memiliki kelayakan akademik seperti Empat Sanawi, SPM, STAM, STPM, diploma, dan ijazah.
Apabila ditanya oleh Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, Mohd Misbahul Munir menjelaskan bahawa guru PASTI adalah guru swasta di bawah PAS dan berbeza dengan guru KAFA yang dibiayai oleh kerajaan di bawah pentadbiran JAKIM.
“Kerajaan ada bajet. Mana sama PASTI dengan guru KAFA, guru KAFA milik kerajaan, PASTI milik PAS,” terangnya.
Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan perlu menaikkan kadar elaun yang hanya RM500 setahun kepada guru KAFA, imam, bilal, dan lain-lain bagi menghargai sumbangan mereka dalam pendidikan dan agama.
Beliau juga memohon penjelasan daripada kerajaan mengenai hala tuju pelajar lepasan beberapa institut pengajian Islam dan dakwah di bawah JAKIM, seperti IPDAS Sabah dan IKMAS Sarawak.
“Mereka ini sebahagian pelajar mungkin mualaf. Adakah kerajaan memberi peluang pekerjaan untuk mereka berkhidmat dalam bidang dakwah di pedalaman Sabah dan Sarawak.
“Kerana ramai para mualaf di Sabah dan Sarawak kalau tidak dibimbing sepenuh masa akidah mereka akan tergelincir amalan cara hidup Islam tidak dihayati.
“Dan saya dapat tahu surau bahkan masjid ada didirikan di perkampungan mereka tetapi disebabkan tidak ada petugas dakwah sepenuh masa menjadi pemimpin fardu ain menyebabkan amalan cara hidup Islam tidak dihayati,” ujarnya.
Justeru, beliau mencadangkan agar JAKIM mewujudkan pegawai dakwah sepenuh masa yang dapat tinggal di kawasan pedalaman untuk tujuan dakwah dan membimbing saudara baru dalam amalan fardu ain. – HARAKAHDAILY 4/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan