Hidupkan jawi dalam penggunaan kecerdasan buatan
DENGAN pendekatan yang betul, kecerdasan buatan (AI) dapat memainkan peranan penting dalam memastikan pendidikan tulisan Jawi terus relevan dan berkembang dalam dunia digital.
Oleh Meja Rencana
19 November 2024, 9:00 am
KECERDASAN buatan (AI) mempunyai potensi besar dalam memperkasakan Pendidikan Jawi pada masa kini, terutamanya dalam menyediakan platform yang lebih interaktif dan bersesuaian dengan keperluan pembelajaran generasi moden.
Melalui penggunaan aplikasi pintar dan perisian pembelajaran, AI mampu mengatasi cabaran tradisional dalam pengajaran serta pembelajaran Jawi, seperti kesukaran mengenal huruf mahupun memahami struktur tulisan Jawi.
Selain membantu dalam proses pengajaran, AI juga memainkan peranan penting dalam pemeliharaan dan pengembangan bahan pengajaran Jawi. Dengan teknologi seperti pengenalan tulisan tangan (OCR), manuskrip-manuskrip lama yang ditulis dalam Jawi boleh didigitalkan dan disimpan untuk kegunaan masa hadapan. Ini memudahkan akses kepada bahan sejarah dan sumber rujukan yang mungkin sukar diperoleh secara fizikal.
Walaupun AI menawarkan pelbagai potensi dalam memperkasakan pendidikan Jawi, terdapat beberapa isu dan cabaran yang perlu diberi perhatian. Salah satu cabaran utama ialah akses kepada teknologi. Tidak semua sekolah atau institusi pendidikan, terutamanya di kawasan luar bandar, mempunyai infrastruktur teknologi yang mencukupi untuk menggunakan AI dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Selain isu pangkalan data yang komprehensif, kebolehan dan penerimaan guru serta pelajar terhadap teknologi AI juga merupakan cabaran besar. Ramai pendidik, terutamanya mereka yang lebih berpengalaman dalam kaedah pengajaran tradisional, mungkin berasa kurang yakin atau tidak selesa menggunakan teknologi AI di dalam bilik darjah. Latihan yang mencukupi perlu diberikan kepada pendidik untuk memastikan mereka dapat menggunakan teknologi ini dengan berkesan.
Begitu juga isu privasi data dan keselamatan turut menjadi kebimbangan dalam penggunaan AI dalam pendidikan.
Walau bagaimanapun, penglibatan semua pihak termasuk pendidik, pengembang teknologi dan pembuat dasar penting untuk memastikan penggunaan AI dalam pendidikan Jawi dilaksanakan secara holistik dan inklusif.
Dengan pendekatan yang betul, AI dapat memainkan peranan penting dalam memastikan pendidikan tulisan Jawi terus relevan dan berkembang dalam dunia digital.-UTUSAN
PROFESOR RUSLI ABDULLAH
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat,
Universiti Putra Malaysia (UPM) & Timbalan Pengerusi Kluster ICT,
Majlis Profesor Negara (MPN)
Ulasan
Catat Ulasan