
Jangan jadi hamba kepada maklumat, berita palsu
KEMAJUAN teknologi yang pesat membawa cabaran baharu dalam usaha membanteras berita palsu.
Oleh Meja Rencana
21 November 2024, 9:00 am
FENOMENA berita palsu dan maklumat yang mengelirukan menjadi satu cabaran global yang semakin membimbangkan kerana ia boleh membawa kesan negatif serius, termasuk mencetuskan kekeliruan, menimbulkan ketakutan, memecah-belahkan masyarakat serta merosakkan reputasi individu mahupun organisasi.
Oleh itu, literasi maklumat iaitu kemampuan untuk mengenal pasti, menilai dan menggunakan maklumat dengan bijak menjadi kunci penting bagi setiap individu. Kepentingan literasi maklumat ini disokong oleh kajian terkini yang mendedahkan bahawa 48 peratus responden dari 27 negara mengaku pernah tertipu dengan berita palsu, mempercayai cerita yang tidak benar sehingga kemudiannya mendapati ia adalah rekaan semata-mata.
Statistik ini menunjukkan betapa mudahnya orang ramai terpedaya dengan maklumat yang tidak sahih. Lebih membimbangkan lagi, 62 peratus pengguna media sosial di Amerika Syarikat (AS) percaya 76 peratus atau lebih berita di platform tersebut berat sebelah.
Angka-angka ini jelas menggambarkan tahap ketidakpercayaan yang tinggi terhadap maklumat dalam talian, sekali gus menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan kemahiran literasi maklumat dalam kalangan masyarakat.
Dalam usaha memastikan kesahihan maklumat, langkah pertama yang perlu diambil ialah mengenal pasti sumber maklumat tersebut. Sumber yang boleh dipercayai seperti portal berita rasmi, laman web kerajaan dan kenyataan daripada pakar merupakan rujukan utama yang seharusnya diutamakan.
Selain mengenal pasti sumber, semakan fakta juga merupakan langkah penting yang sering diabaikan oleh ramai pihak. Kerajaan membangunkan pelbagai laman web dan aplikasi khusus. Contoh terbaik ialah portal Sebenarnya.my yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Selain itu, masyarakat perlu meningkatkan kesedaran terhadap kecenderungan untuk berkongsi maklumat tanpa mengkaji terlebih dahulu. Langkah berjaga-jaga ini penting untuk mengelakkan diri daripada menjadi punca gangguan kesejahteraan masyarakat.
Kerajaan mengambil langkah serius dalam menangani isu penyebaran maklumat palsu, menunjukkan komitmen negara dalam memerangi ancaman ini. Salah satu usaha utama ialah melalui penguatkuasaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu.
Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) secara aktif menjalankan kempen kesedaran. Usaha-usaha ini sangat efektif dalam mendidik masyarakat mengenai bahaya berita palsu dan kepentingan literasi maklumat.
Kemajuan teknologi yang pesat membawa cabaran baharu dalam usaha membanteras berita palsu. Algoritma media sosial yang cenderung memaparkan maklumat popular tanpa mengira kesahihannya menjadi satu masalah yang semakin ketara. Situasi menjadi lebih membimbangkan dengan kemunculan aplikasi yang mampu memanipulasi video dengan hanya satu klik tetapi meningkatkan risiko penyebaran maklumat palsu secara lebih canggih.
Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) khususnya memburukkan lagi keadaan ini. Teknologi deepfake, yang mampu memanipulasi video dan audio dengan begitu realistik, kini menjadi ancaman serius terhadap integriti maklumat. Contoh, semasa rusuhan 2024 di England, sebuah video deepfake yang menunjukkan seorang ahli politik tempatan membuat kenyataan provokatif tentang pendatang telah tersebar luas di TikTok dan Telegram. Walaupun video tersebut kemudiannya dibuktikan palsu, kerosakan sudah berlaku, mencetuskan kemarahan dan keganasan yang sukar dikawal.
Setiap individu perlu memainkan peranan dalam memastikan integriti maklumat yang dikongsi dan disebarkan. Hanya dengan usaha bersepadu dari semua pihak, kita dapat membina masyarakat lebih celik maklumat dan berdaya tahan terhadap ancaman berita palsu yang semakin canggih.-UTUSAN
MUHAMMAD AMIERUL HAQEEM MOHD. FAIZAN dan NURUL NISHA MOHD. SHAH
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Ulasan
Catat Ulasan