Jangan kelirukan pemilikan saham MAHB oleh BlackRock
November 4, 2024
KUALA LUMPUR: Tindakan pihak kerajaan yang sering mengaitkan pemilikan saham syarikat terkait Zionis iaitu GIP-BlackRock dalam Malaysian Airport Holding Berhad (MAHB) dengan pemilikan saham syarikat itu dalam banyak syarikat swasta di negara ini disifatkan sebagai sesuatu yang tidak wajar.
Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana MAHB sebelum ini adalah sebuah syarikat milik penuh kerajaan selain memegang aset strategik negara iaitu rangkaian lapangan terbang.
Menurutnya, MAHB pada asalnya adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dimiliki 100 peratus saham oleh kerajaan setelah dinyahsenaraikan dari pasaran terbuka sebelum ini yang kemudiannya 30 peratus sahamnya dijual kepada GIP-BlackRock.
“Baru-baru ini kita bangkit dalam Parlimen, Menteri Kewangan Kedua mengatakan bahawa BlackRock ni walaupun ia ada 30 peratus saham saja, ia beli (saham) yang bernilai lebih kurang RM4 bilion.
“Ia nak suntik pelaburan tambahan RM10 bilion. Bila ia masuk RM10 bilion, ia akan mencairkan 70 peratus daripada saham yang dipegang oleh Khazanah dan KWSP ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.
Beliau yang juga Setiausaha Agung PAS itu berkata demikian dalam sidang media berhubung ucapan penerangan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu Palestin di Dewan Rakyat hari ini yang akan membawa usul-usul Malaysia ke Persidangan Khas Persidangan Negara-negara Islam di Riyadh pada 11 November.
Jelas beliau, itu adalah isu yang sebenarnya dibangkitkan oleh Perikatan Nasional selama ini, manakala isu berkaitan pegangan-pegangan kecil GIP-BlackRock dalam syarikat swasta di pasaran terbuka boleh diselesaikan kemudian dengan cara mudah.
“MAHB ini kepunyaan kerajaan, aset strategik kerajaan iaitu lapangan-lapangan terbang yang ada di Malaysia ni.
“Itu isu bezanya BlackRock dalam MAHB dengan BlackRock mungkin dalam syarikat-syarikat lain yang kecil-kecil. Jangan cuba kelirukan perkara ini. Kita fokus MAHB,” katanya.
Takiyuddin dalam sidang media itu turut menyatakan bahawa Perikatan Nasional juga telah memberikan pandangan mereka di Dewan Rakyat berkaitan isu itu melalui pembahasnya iaitu Ahli Parlimen PN Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman.
“Kita menyokong penyertaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam persidangan khas ini. Apa yang kita harapkan ialah Perdana Menteri membawa hasrat dan juga pandangan serta cita rasa seluruh rakyat Malaysia.
“Terutamanya untuk mengutuk kekejaman kezaliman rejim Zionis Israel ini terhadap Palestine terutamanya dan juga negara-negara lain yang berdekatan dengan beberapa pandangan daripada pihak kami,” katanya.
Jelasnya, pada dasarnya Perikatan Nasional menyokong penerangan oleh PMX itu dan meminta agar Perdana Menteri mempertimbangkan pandangan yang diberikan oleh Perikatan Nasional.
Terdahulu dalam ucapannya Tarmizi mengulangi pendirian Perikatan Nasional agar Kerajaan Persekutuan mengkaji semula penjualan 30 peratus saham MAHB kepada GIP-BlackRock selaras dengan semangat menentang kezaliman Zionis-Israel terhadap Palestin.
Anwar dalam penggulungannya telah menyifatkan pemilikan saham GIP-BlackRock dalam MAHB sebagai sama dengan pemilikan syarikat itu dalam banyak syarikat-syarikat tersenarai awam di negara ini yang dibeli dari pasaran terbuka. – HARAKAHDAILY 4/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan