‘Jangan lagakan Bersatu dan Pas’





‘Jangan lagakan Bersatu dan Pas’
OH TONG KEONG
Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
17 November 2024, 6:48 am

GEORGE TOWN: Tidak timbul persoalan parti manakah yang lebih layak untuk menerajui Perikatan Nasional (PN) ketika ini sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas.

Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong berkata, dalam hal ini, kedua-dua parti ada kelebihan tersendiri dan saling melengkapi untuk me­ngukuhkan parti gabungan itu.

Sehubungan itu, Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang berharap tidak ada pihak cuba ‘melaga-lagakan’ pemimpin daripada kedua-dua parti dengan niat untuk mencetuskan ‘ketidakharmonian’ dalam kem PN.

“Salah faham itu biasalah. Banyak kali dah. Pandangan tak sama. Memang macam itu bila kita bawa konsep berbeza dalam perjuangan. Tapi, tak adalah sampai merosakkan hubungan (dalam PN).

“Selaku parti ketiga terbesar dalam Perikatan (Nasional), kami (Gerakan) menyokong sesiapa sahaja yang boleh me­mimpin PN tidak kira sama ada daripada parti Bersatu atau Pas.

“Dalam konteks Pulau Pinang sebagai contoh, kedua-dua parti amat diperlukan untuk mengimbangi kekuatan PH (Pakatan Harapan) agar wujud ‘check and balance’ (semak dan imbang) dalam kerajaan negeri.


“Ini kerana, kami melihat banyak projek daripada kerajaan negeri yang belum dilaksanakan walaupun telah lama dirancang sebelum ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Sebelum ini, timbul desas-desus mengatakan ada ‘keretakan’ dalam PN apabila Bersatu didakwa menumpang kekuatan Pas di dalam parti gabungan itu kerana Pas dilihat lebih dominan dalam segala isu.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin daripada kedua-dua parti menolak tanggapan negatif itu dan memaklumkan semua parti dalam PN kini be­kerja keras dengan memberi tumpuan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Dalam pada itu, Tong Keong berkata, walaupun Gerakan hanya mempunyai satu kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kulim di Kedah ketika ini, namun, parti itu tetap bersemangat untuk menarik semula sokongan kaum bukan Melayu khususnya Cina untuk bersama PN.

“Kita sedang membuat gerak kerja yang tersusun dan konsisten untuk bangkit selepas ini (pada PRU-16),” kata beliau. – UTUSAN

Ulasan