‘Jangan marah, ini adalah Kerajaan Perpaduan’
FUZIAH Salleh ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, Aslinda Nasir, Juani Munir Abu Bakar dan Omar Zin di Parlimen, baru-baru ini.
Oleh Aslinda Nasir, Juani Munir dan Omar Zin
21 November 2024, 6:29 am
DARI sudut politik, ada yang masih tertanya-tanya mengenai hala tuju parti pemerintah seperti PKR, tahap kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta pemimpin yang mampu menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dari sudut pengguna, ada yang tertanya-tanya mengenai apa jadi dengan Menu Rahmah. Tidak kurang juga yang tertanya sama ada kenaikan gaji tahun hadapan akan menaikkan lagi harga barang.
Soalan-soalan ini diajukan dan dijawab oleh FUZIAH SALLEH selaku Setiausaha Agung PKR baharu dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Ikuti temubual bersama wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR, JUANI MUNIR ABU BAKAR, OMAR ZIN dan jurufoto, MUHAMAD IQBAL ROSLI.
TUMPUAN PKR KETIKA INI
Hari ini tanggungjawab saya ialah memastikan PKR sebagai parti yang paling dominan kerana Anwar ialah Perdana Menteri dan kita mahu beliau terus kekal untuk penggal yang seterusnya. Maka PKR perlu menjadi parti paling dominan. Maksudnya parti paling kuat. Ketika ini, kita belum sampai ke tahap itu untuk menjadi parti paling dominan, malah dalam kerajaan perpaduan tidak ada pun parti yang paling dominan.
Dari segi pentadbiran, ia perlu diuruskan dengan profesional sebab dulu kita pembangkang, dulu asalkan kita boleh hidup dan sebagainya. Tetapi bila jadi kerajaan, kita perlu jadi profesional. Kedua, kita perlu perkukuhkan kekuatan jentera, disiplin, struktur organisasi dan sayap-sayap kita, itu antara perkara-perkara yang saya akan beri tumpuan.
Jadi, ia bukan sekadar business as usual, bukan setakat tengok mesyuarat, tengok laporan atau kongres tetapi membawa PKR ke satu tahap yang lebih tinggi, yang mana kita mahu adakan pemilihan tahun depan. Jadi, pemilihan ini dilihat sebagai peluang kita untuk hidupkan parti, untuk menyuntik semangat idealisme dan semangat macam awal-awal reformasi dulu. Inilah peluang kita untuk membangkitkannya.
TAHAP KERJASAMA PH-BN
Ada banyak tahap, kalau tahap yang ada peluang untuk bekerjasama, maka persefahaman itu lebih mudah terjalin. Contohnya, di peringkat tinggi, biasa bekerjasama dalam Kabinet, jadi ada kerjasama antara menteri, kerjasama itu mudah. Kemudian di peringkat bawah ini yang mungkin kurang peluang untuk kerjasama, maka susah sedikit sebab mungkin persepsi lama menebal dan kalau tidak diberi peluang untuk bekerjasama, maka tentu sekali tidak kenal.
Tetapi pengalaman dalam pilihan raya kecil (PRK) memberi kita peluang untuk kenal satu sama lain, cara kerja macam mana, turun padang sama-sama, berceramah sama-sama, itu memberi peluang. Tetapi apa yang saya ingin usahakan ialah supaya kerjasama ini sampai ke akar umbi. Wanitanya, pemuda boleh mula kerjasama dan turun padang sekali, buat program sekali, jadi mungkin itu akan membentuk kerjasama yang lebih erat. Tak kenal maka tak cinta.
RAKYAT MULA HILANG KEPERCAYAAN TERHADAP KERAJAAN PERPADUAN?
Itu adalah satu aspek kefahaman, bagaimana kita melaksanakan dasar, ia banyak berkisar kepada ideologi, kepercayaan dan keyakinan. Sebagai contoh, Anwar dari dia muda sampai sekarang membasmi kemiskinan itu satu perkara yang dekat di hati beliau dan oleh kerana ia tidak bercanggah dengan parti-parti lain maka agenda itu dapat diangkat.
Kita perlu faham. Kalau misalnya mungkin ada agenda seperti pilihan raya peringkat ketiga seperti pilihan raya peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), itu tidak boleh diterima oleh rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, maka susahlah kita mahu angkat, jadi dia bukan sesuatu yang mudah untuk kita urus.
Tetapi saya yakin ada banyak perkara yang kita boleh bersetuju dan perkara itu harus kita dahulukan. Contohnya, baru-baru ini kita luluskan pindaan perlembagaan berkenaan dengan anak yang lahir daripada ibu rakyat Malaysia di luar negara yang tidak dapat kerakyatan. Itu adalah sesuatu yang kita angkat bersama.
Banyak lagi perkara yang kita boleh angkat bersama dan itu memerlukan masa untuk kita laksanakan satu demi satu. Tetapi kita harus berlaku adil kerana kesungguhan kerajaan ini tidak boleh dipertikai. Cuma di mana middle ground yang kita perlukan?
Cari persefahaman dan persamaan. Kalau yang ada perbezaan itu mungkin kita ketepikan dulu. Jadi kalau ada yang menuntut kita melaksanakan pilihan raya peringkat PBT, jangan marah sebab kita perlu faham, ini adalah Kerajaan Perpaduan.
KERJASAMA SEBELUM ATAU SELEPAS PRU16?
Kita belum lihat bentuk kerjasama yang macam mana. Kalau kita tengok ‘bank’ undi UMNO dan BN dengan ‘bank’ undi PKR dan PH tidak sama. Dengan kerjasama akan mengukuhkan dan melebarkan lagi kita punya ‘bank’ undi. Ini strategik cuma bentuk apa itu kita belum perincikan, belum dimuktamadkan.
Kalau buat pakatan elektoral (electoral pact) kita tidak bentuk gabungan, tetapi kita bentuk persefahaman, bertanding kawasan mana. Kalau gabungan, kita bentuk pakatan macam PH dan BN.
Kita belum tentukan, kita mahu bentuk BN-PH ataupun kita mahu bentuk persefahaman dengan BN, kita belum tentukan lagi bentuknya tetapi asasnya adalah ‘bank’ undi akan memperkukuhkan satu sama lain, ini strateginya, tetapi ada banyak lagi prosesnya.
SIAPA SELEPAS ANWAR?
Sebenarnya terlalu banyak nama yang mungkin orang tidak nampak. Tetapi saya tengok banyaknya nama sampai kita susah mahu ketengahkan.
Anwar dalam lingkungan usia 70an tetapi kita tengok kita ada pemimpin di setiap lapisan umur dan pemimpin ini bukan pemimpin bawah. Saya bercakap pasal ahli Parlimen dan ahli-ahli pimpinan pusat.
Kita memang ada barisan pemimpin, cuma peluang itu terpulang kepada mereka untuk membuktikan diri masing-masing. Sebab kita dalam parti, kita terbuka, mahu bertanding, silakan.
Contoh, pemimpin dalam lingkungan usia 60an ialah saya sendiri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Dr. Zaliha Mustafa. Kemudian dalam 50an, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan ahli Parlimen seperti Syed Ibrahim Syed Noh.
Pemimpin berusia 40an lebih ramai seperti Nik Nazmi Nik Ahmad, Nurul Izzah, Rafizi Ramli, Datuk Seri Amirudin Shari dan Fadhlina Sidek.
Yang berusia 30an pula kita ada Adam Adli Abdul Halim, Kamil Munim. Yang umur 20an pun ada iaitu Mohammed Taufiq Johari.
Jadi, kita ada seluruh barisan pemimpin, maksudnya kita memang tidak tandus. Kita hanya menunggu dan kadang-kadang ada pemimpin yang tidak ambil peluang, ada yang kata tidak bersedialah, tunggu dululah.
Jadi, kita tengok pemilihan akan datang macam mana, tetapi saya memang tidak risau.
Bukan cakap sahaja tetapi pantau harga
APA JADI MENU RAHMAH?
Masa kita lancarkan Menu Rahmah pada Januari 2023, sekarang sudah dua tahun dan pada ketika itu, saya ingat, Anwar cakap dengan saya kalau kita boleh tahan enam bulan, bersyukur sangat sebab sekurang-kurangnya kita buat sesuatu. Ketika itu, inflasi tinggi 4.0 tetapi alhamdulillah, ia kekal ‘panjang’ cuma kita dengar juga masalah-masalah peniaga ini.
Mereka mahu buat Menu Rahmah tetapi mereka kata berat sedikit. Jadi kita keluarkan kad diskaun supaya mereka dapat diskaun di pasar raya yang bekerjasama dengan kita. Kemudian selepas beberapa bulan, kita dapati ada masalah.
Saya sendiri panggil dan cuba memahami apa masalahnya. Rupa-rupanya kita ada sistem yang berbeza di pasar raya. Dia punya SKU (Unit Penyimpanan Stok) pun berbeza. Yang ingin bagi diskaun itu contohnya pasar raya A bagi berapa peratus. Beras dan ayam contohnya. Yang pasar raya B ini tidak bagi, tetapi beri peratus lain.
Jadi, sistem itu tidak boleh dilaksanakan. Lama juga kita mahu perbaiki sistem itu dan kita buntu, tetapi kita baru dapat penyelesaian iaitu pengusaha Menu Rahmah boleh menggunakan kad diskaun di Jualan Rahmah. Jadi, bila mereka beli di Jualan Rahmah dengan kad diskaun itu, mereka boleh dapat diskaun Jualan Rahmah. Mereka boleh beli pukal. Kalau orang biasa, contohnya, dia perlu ayam mungkin dua ekor dan maksimum telur satu tray (bekas) sebab ini semua barangan kawalan, harga pun kita bagi diskaun.
Jadi, kalau isi rumah biasa kita bagi ada had tetapi untuk peniaga Menu Rahmah dengan kad diskaun itu mereka boleh beli di Jualan Rahmah sebagai peniaga, itu kita punya dasar terbaharu. Ini belum melebar luas lagi. Tetapi saya harap kita akan dapat sebar luaskan.
MENU RAHMAH MASIH DAPAT SAMBUTAN
Banyak, ada juga yang ambil inisiatif sendiri. Saya kira ada dalam 2,000 lagi di seluruh negara tetapi saya tidak menafikan bahawa mereka pun susah. Tetapi mereka kata kongsi rezeki. Kita pun tidak mahu mereka susah. Kita mahu bantu mereka juga. Sebab itu kita buat dasar baharu ini.
Tahun ini kerajaan tambah lagi peruntukan untuk inisiatif Payung Rahmah. Insya-Allah, kita akan lipat gandakan Jualan Rahmah, lagi mudah untuk mereka dapatkan bekalan untuk Menu Rahmah.
Kita harap dapat bantu pengusaha sedia ada terlebih dahulu, tetapi pada masa yang sama kita mahu perluas lagi kepada yang baharu. Saya juga ada bercakap dengan ahli Parlimen, mereka ingin kumpulkan peniaga-peniaga dekat Parlimen, mereka mahu lancar dan saya akan turut serahkan kad diskaun itu kepada semua. Mudahlah kalau kita bekerjasama dengan pusat khidmat Parlimen.
NAIK GAJI, NAIK HARGA BARANG
Kita ada beberapa akta. Antaranya, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan, itu akta yang kita boleh guna pakai. Kemudian, kita ada 990 pegawai pemantau harga, hari-hari turun padang. Kita pantau pasar raya, pasar mini, pasar raya besar.
Kemudian, kita pantau 460 barangan hari-hari. Kita juga ada 2,500 pegawai penguatkuasa, mereka buat pemantauan. Jadi kita hari-hari akan terima laporan harga-harga barang. Ayam ke, tomato ke, bawang ke, kita akan dapat laporan.
Daripada situ, kita akan nampak kalau ada kenaikan, kalau ada yang mengambil kesempatan, yang kita syak sebagai catut. Maksudnya kenaikan luar biasa. Saya bagi contoh masa apungkan harga ayam, masa tarik subsidi. Dalam masa minggu pertama, kita tengok ada yang ambil kesempatan naikkan harga ayam kepada RM11 sekilo.
Kita keluarkan notis, macam surat tunjuk sebab. Bila keluar notis itu, mereka perlu jawab kenapa mereka naikkan harga. Kalau mereka kata sebab kos, kita ada kuasa untuk minta harga kos mereka, daripada bahan mentah, kos pengeluaran, kos operasi, kos pekerja, kos pengangkutan sampai ke runcit.
Kita boleh tengok seluruh rantaian bekalan. Jadi, mereka perlu beritahu kos, dan bukan kos masa itu, mereka perlu bagi tahun lepas, tahun sebelumnya supaya kita boleh bandingkan dan ada formula catut dan kalau kita dapati catut, kita akan buka kes.
Kita bukan hanya cakap kita akan pantau. Kita ada mekanisme dan kita ada akta untuk membantu kita dan kita ada prosedur kita.
CUKAI GULA, HARGA MAKANAN NAIK?
Harga gula standard tidak berubah RM2.85. Jadi, tiada kesan kepada harga makanan yang bermasak. Yang akan dikenakan cukai di bawah Kementerian Kesihatan ialah cukai bergula, ini macam air bergas yang banyak gula itu.
Yang itu dikenakan cukai. Perlu bezakan sebab cukai gula itu bukan ke atas makanan yang hari-hari macam kita pergi kedai mamak atau warung, makan kuih bakar atau kuih apam balik yang banyak gula.
Tidak ada sebab mereka naikkan harga. Jadi, kalau mereka kata cukai gula naik, harga makanan naik, tidak ada. Gula tidak naik harga pun. Cukai gula dikenakan ke atas makanan yang diproses untuk menggalakkan rakyat tidak mengambilnya, untuk kesihatan rakyat juga.
KUASA HARGA ADALAH HAK PENGGUNA
Ada yang ingat kuasa pada kerajaan, bila minta turunkan harga. Sebenarnya mereka harus sedar. Contohnya, apabila mereka boikot, ada kedai tutup. Pemilik terpaksa merayu jangan boikot. Maksudnya, pengguna ada kuasa untuk menentukan.
Sekarang kita sudah tengok kuasa pengguna, kesedaran harus timbul daripada pengguna. Sebab itu, kita perlu terus didik pengguna berkenaan bekalan, permintaan, kuasa pengguna dan sebagainya.-UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan