Kedaulatan Bahasa Melayu cerminan jati diri negara



Kedaulatan Bahasa Melayu cerminan jati diri negara
November 25, 2024

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS mengalu-alukan dan menyokong penuh tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan penggunaan Bahasa Melayu di papan iklan premis-premis perniagaan ibu kota.


“Selain menepati kehendak undang-undang yang mensyaratkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama, langkah tersebut juga bertepatan dengan dasar serta cita-cita negara.

“(Ia) seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Bahasa Kebangsaan yang terlaksana lebih 50 tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, sikap kecuaian sambil lewa berhubung penggunaan Bahasa Kebangsaan tersebut dalam kalangan rakyat tidak boleh diterima sama sekali kerana sifat sebegitu berlawanan dengan identiti negara Malaysia itu sendiri.

“Bagi PAS, pertimbangan-pertimbangan berkait penggunaan rasmi bahasa lain selain Bahasa Melayu sama ada untuk tujuan ekonomi, sosial, pelancongan, diplomasi dan sebagainya hanya boleh diterima sekiranya tidak mengetepikan atau menjejaskan kedudukan dan keutamaan Bahasa Kebangsaan itu sendiri.

“Sebagai tanggungjawab patriotik rakyat Malaysia, Bahasa Melayu mestilah didaulatkan dan diberi keutamaan oleh semua kalangan dan dalam semua keadaan.

“PAS percaya ketegasan yang sama harus dijadikan teladan oleh bukan sahaja pihak berkuasa tempatan di seluruh negara tetapi juga oleh semua pihak lain termasuklah individu yang merupakan rakyat negara ini,” ujarnya.

Datuk Seri Takiyuddin menegaskan bahawa bahasa merupakan simbol utama dalam sesebuah budaya, warisan dan pandangan hidup sesebuah negara di mana Bahasa Melayu itu sendiri memainkan peranan penting dalam melambangkan jati diri negara ini.

“Bahasa sebagai simbol utama budaya, warisan dan pandangan hidup bersama menjadi lebih penting kepada jati diri Malaysia yang berbilang kaum dan kepercayaan.

“Terutamanya kini susulan bertambahnya pelbagai aliran kepentingan dan pemikiran yang cenderung ke arah penyepaian negara dan bukan kesatuannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/11/2024

Ulasan