Kelantan desak Amerika henti keganasan Israel di Palestin
November 13, 2024
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyatakan pendirian meminta Amerika Syarikat menghentikan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin.
Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pendirian itu dinyatakan pada pertemuan bersama Duta Besar Amerika Syarikat, Edgard D Kagan semalam.
Katanya, pada pertemuan itu mereka membincangkan mengenai isu kekejaman Israel terhadap Palestin sejak sekian lama.
“Rakyat Kelantan sentiasa bersama rakyat Palestin. Pertemuan itu memberi peluang kita menyampaikan pendapat dan tentangan rakyat terhadap kekejaman di Palestin,” katanya selepas Mesyuarat Exco di MABNA, di sini hari ini.
Beliau juga berkata, kerajaan Kelantan turut menyokong gesaan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadap pemimpin dunia untuk menyingkirkan Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kata beliau juga tiada rakyat Kelantan yang belajar atau bermestautin di Lubnan yang ketika negara itu diserang Zionis Israel.
“Bagaimanapun, kita berharap semua rakyat di negara itu mendapat perhatian antarabangsa untuk menghentikan peperangan,” katanya.
Pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi Isnin Anwar dilapor menyeru pemimpin dunia sepakat menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan PBB atas tindakannya yang melampaui batas kemanusiaan. – HARAKAHDAILY 13/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan