Kenderaan NGV tidak dibenar atas jalan raya mulai Julai 2025
LOKE Siew Fook dalam sidang akhbar Sesi Pengumuman Dasar Pengunaan Kenderaan NGV di Kuala Lumpur semalam.
Oleh HENDRA WINARNO dan AMIRUL AIMAN OSMAN
5 November 2024, 7:11 am
KUALA LUMPUR: Kenderaan berkuasa bahan api gas asli mampat (NGV) tidak lagi dibenar beroperasi di Malaysia mulai 1 Julai 2025, susulan keputusan Jemaah Menteri pada 2 Oktober lalu.
Langkah itu diambil atas dasar keselamatan setelah didapati bahawa sebahagian besar kenderaan NGV di negara ini berada dalam fasa akhir hayat tangki bahan api mereka.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, kenderaan NGV di Malaysia terbahagi kepada dua kategori, iaitu kenderaan petrol yang diubah suai untuk menggunakan NGV (dual-fuel) dan kenderaan import yang hanya menggunakan NGV (mono-fuel).
“Berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), terdapat sekitar 44,383 kenderaan NGV yang aktif, atau 0.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan berdaftar di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar Sesi Pengumuman Dasar Penggunaan Kenderaan NGV di sini, semalam.
Selain itu, beliau berkata, Petronas juga akan menamatkan bekalan runcit NGV di seluruh negara mulai 1 Oktober 2024, dengan penutupan penuh dijadualkan menjelang suku kedua 2025.
“Langkah ini bagi memastikan tiada lagi kenderaan NGV yang menggunakan bahan api tersebut selepas tarikh larangan berkuat kuasa.
“Permohonan untuk pakej bantuan ini boleh dilakukan melalui laman web rasmi www.peralihanngv.com, yang juga menyediakan maklumat lanjut mengenai inisiatif tersebut.
“Pihak yang memerlukan bantuan lanjut boleh menghubungi Mesralink di talian 1-800-88-8181 atau melalui emel di mesralink@petronas.com,” katanya.
Jelas Siew Fook, keputusan itu bertujuan mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya dan mengurangkan risiko kecederaan atau kerosakan akibat penggunaan kenderaan NGV yang melebihi tempoh hayat tangki bahan api.
Bagaimanapun, sebagai langkah sokongan, Petronas NGV Sdn. Bhd. (PNGV) akan menyediakan Program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV bagi pemilik yang terkesan.
“Program ini menawarkan tiga pakej utama iaitu bantuan untuk Pemandu Teksi NGV berupa baucar bernilai RM3,000 yang akan diberikan secara one-off kepada pemandu teksi berdaftar yang layak melalui aplikasi Setel.
“Selain itu, pakej Penanggalan Kit NGV bagi pemilik kenderaan dual-fuel yang layak boleh menanggalkan kit NGV secara percuma di bengkel berdaftar juga akan diberikan
“Ketiga, pakej ini juga mempunyai bantuan untuk Kenderaan Mono-Fuel, di mana Pemilik kenderaan NGV mono-fuel yang layak akan menerima pembayaran berdasarkan nilai semasa kenderaan mereka, dengan syarat kenderaan tersebut dihantar untuk dilupuskan di pusat rawatan automotif berlesen,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan