Kenderaan pengangkut kereta perisai ATM terbalik di Lebuhraya KL-Karak
Oleh Nor Azizah Mokhtar - November 8, 2024 @ 1:03am
Kenderaan pengangkut kereta perisai (KPKP) milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbabit kemalangan. - Foto tular
KUALA LUMPUR: Sebuah kenderaan pengangkut kereta perisai (KPKP) bersama muatan dua kenderaan jenis A (KJA) Adnan terbabit kemalangan di Kilometer (KM)35.2 Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak, petang tadi.
Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan, memaklumkan kejadian kira-kira jam jam 4.45 petang ketika enam KPKP berkonvoi membawa 12 KJA dari Kem Batu 10, Kuantan menuju ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas untuk Latihan Peningkatan Tempur (LPT).
Menurutnya, enam KPKP itu adalah milik 4 Kompeni Angkut Kor Perkhidmatan Diraja (4 KPD Mek), manakala12 KJA Adnan adalah milik pasukan Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (7 RRD Mek).
"Melalui laporan awal yang diterima, kemalangan disebabkan KPKP cuba untuk mengelak sebuah trailer awam yang menukar haluan dan masuk ke lorong kanan secara tiba-tiba.
"Disebabkan keadaan jalan yang licin akibat cuaca hujan, KPKP hilang kawalan dan terbabas ke jalan bertentangan.
"Kerosakan adalah keseluruhan bahagian prime mover KPKP manakala tiada kerosakan pada KJA. Pemandu KPKP tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Tambah kenyataan itu, kenderaan lain yang berada di dalam konvoi meneruskan perjalanan ke Kem Perdana Sungai Besi.
"TDM sudah menggerakkan sebuah kenderaan Kembalik dari pasukan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD Mek) dari Kem Batu 10, Kuantan dan sebuah KPKP dari Kem Perdana Sungai Besi ke lokasi kemalangan.
"Pasukan itu bagi membuat penarikan KPKP dan pengambilan dua KJA yang terbabit kemalangan ke pasukan bagi tindakan selanjutnya.
"TDM juga akan menubuhkan lembaga siasatan bagi menyiasat punca sebenar kemalangan berlaku," katanya.
Petang tadi, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi akaun X memaklumkan berlaku kemalangan di KM35.2 Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak dari arah Genting Sempah ke Gombak.
Kemalangan dilaporkan berlaku pada jam 4.48 petang tadi, menyebabkan kesesakan aliran trafik di kedua-dua arah laluan terbabit.
Ulasan
Catat Ulasan