Kesatuan ummah warnai TIS 2024
November 23, 2024
KUALA TERENGGANU: Suasana penuh harmoni di tepi muara Terengganu yang mendamaikan, seramai 250 peserta dari lima negara berkumpul hari ini untuk menyatukan pemikiran dan aspirasi dalam Terengganu International Summit (TIS) 2024.
Bertemakan ‘Kesatuan Ummah ke Arah Kemampanan, Daya Tahan, dan Kemakmuran Bersama’, persidangan ini menjadi medan pertemuan pelbagai ideologi demi mencapai konsensus yang bermanfaat untuk ummah.
Dataran persidangan dihiasi dengan suara-suara para sarjana, pakar dan pembuat dasar yang membincangkan cabaran serta strategi melangkaui batas geopolitik dan perbezaan ideologi.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merasmikan acara ini, membuka tirai diskusi dengan semangat perpaduan yang menyala.
Dua tokoh negarawan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut menjadi tumpuan utama dengan ucaptama mereka yang menyentuh isu-isu mendesak umat Islam di dunia hari ini.
Peserta dari Oman, Rusia, Filipina, Turki dan Indonesia mendengar dengan penuh minat, membawa pulang perspektif baharu untuk dibincangkan di negara masing-masing.
Ini bukan kali pertama Terengganu menjadi tuan rumah bagi persidangan berprestij sebegini. Tahun lalu, TIS2023 berjaya menghasilkan 10 resolusi yang menawarkan Islam sebagai solusi kepada pelbagai isu global.
Di bawah naungan Yayasan Perdana, Yayasan Permata Ummah (YPU), Sekretariat SG4, dan Menteri Besar Incorporated (MBI), persidangan ini menjadi bukti bahawa perpaduan mampu dicapai apabila usaha kolektif digerakkan.
Antara fokus utama TIS2024 ialah memperkasa agenda penyatuan ummah di peringkat kepimpinan hingga ke akar umbi dengan merancang pelan tindakan pembebasan dan pembangunan Gaza-Palestin sebagai wilayah solidariti ummah.
Tidak hanya itu, perbincangan juga tertumpu kepada pentadbiran dan kepimpinan, ketamadunan dan penyatuan ummah, jaringan kerjasama antarabangsa, pembangunan, kemanusiaan dan budaya. – HARAKAHDAILY 23/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan