Kisah dua YB Melaka jadi jaguh di media sosial




Kisah dua YB Melaka jadi jaguh di media sosial

08 November 2024 07:30am
Masa membaca: 3 minit

Dr Akmal Saleh, Mohd Noor Helmy Abdul Halem

MASYARAKAT hari ini telah sebati dengan kehidupan dalam dunia digital lebih-lebih lagi dalam setiap rutin kehidupan masing-masing.

Bahkan, media sosial menjadi pilihan rakyat di negara ini untuk melontarkan pelbagai pandangan termasuklah bagi tujuan publisiti.

Keadaan itu menyebabkan pelbagai perubahan dalam penyebaran maklumat yang boleh dikatakan lebih mudah, namun agak terhad kepada sesetengah pihak yang belum mahir khususnya warga emas.

Bagaimanapun, mahu tidak mahu masyarakat perlu mengadaptasikannya susulan kaedah tersebut lebih produktif sesuai dengan peredaran zaman.

Tidak hairanlah kelebihan teknologi media sosial bukan hanya sebagai alat komunikasi, malah dengan adanya komunikasi maya dan visual menarik membuatkan orang mengetahui aktiviti harian seseorang itu.

Itulah yang dilakukan sebilangan ramai termasuk wakil rakyat di negara ini untuk memberitahu orang ramai tentang apa yang dilakukan terhadap pengundi mereka.

Di era digital ini, ramai wakil rakyat sudah mula memanfaatkan teknologi media sosial sebagai alat untuk menunjukkan penglibatan mereka dalam apa jua program mahupun isu bersama rakyat.

Dengan platform seperti Facebook, media X, Instagram dan tidak ketinggalan TikTok, mereka menggunakan aplikasi berkenaan untuk menjangkau masyarakat secara lebih meluas dan efektif.


Begitu juga ia dijadikan platform untuk berhubung terus dengan masyarakat di bawah.

Bercerita tentang media sosial ini, penulis tertarik dengan langkah dua orang wakil rakyat di Melaka yang sering turun padang membantu rakyat di kawasannya seperti dipaparkan di media sosial masing-masing.

Seorang daripada mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang bukan sahaja dikenali di kawasannya, malah negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.

Beliau menjadi popular kerana aktivitinya membantu dan menyelesaikan masalah orang ramai dimuat naik dalam media sosial. Daripada masalah longkang sehinggalah menziarahi orang sakit atau warga emas.

Setiap gerak-geri beliau menyantuni dan menyelesaikan isu rakyat dikongsi dengan orang ramai menerusi media sosial supaya masyarakat dapat mengetahui kerja-kerja yang dilakukan serta masalah yang sudah diselesaikan.

Tapi sebenarnya, sikap bersahaja beliau dalam melayani setiap aduan masyarakat itu yang berjaya menambat hati ramai orang.

Seorang lagi yang sering menjadi sebutan ramai kerana sentiasa turun padang dan aktivitinya dimuat naik dalam media sosial ialah ADUN Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO tidak ketinggalan menggunakan platform media sosial bagi memberi makluman mengenai rutin harian dan perkembangannya.

Cuma berbeza dengan YB Helmy, Dr Muhamad Akmal dilihat tegas dan lantang dalam menyelesaikan masalah masyarakat.

Namun, kedua-dua figura ini ada persamaan.

Mereka bijak memanfaatkan media sosial seperti TikTok dan menjadikan alat penting bagi mereka dalam menjalin komunikasi dengan rakyat secara tidak langsung membangunkan kepercayaan antara wakil rakyat dan masyarakat.

Penulis bagaimanapun percaya, ada beberapa lagi wakil rakyat yang kuat bekerja seperti YB Helmy dan YB Akmal termasuk di negeri-negeri lain.

Mungkin ada yang mengatakan tindakan wakil rakyat memuat naik aktiviti di media sosial adalah untuk menunjuk-nunjuk. Tapi bagi penulis, terpulang kepada pendapat masing-masing.

Lagipun orang ramai nak tahu apa yang wakil rakyat buat untuk mereka.

Dalam erti kata lain, tiada lagi alasan untuk wakil rakyat mengatakan bahawa mereka tidak popular disebabkan tiada liputan meluas pihak media.

Jadi, bagi wakil rakyat-wakil rakyat yang masih ‘tidur’, bolehlah mengambil contoh kedua-dua figura ini sebelum rakyat membuat keputusan mengundi pada pilihan raya akan datang pula.

* Nor Farhana Yaacob ialah Wartawan Sinar Harian Biro Melaka

Ulasan