Berita
Kumpulan berkaitan PAS anjur satu lagi himpunan di Teluk Intan
Diterbitkan: Nov 17, 2024 10:11 PM
Dikemaskini: 10:11 PM
Sebuah kumpulan yang berkaitan dengan PAS mengadakan himpunan di Teluk Intan, Perak, sebagai reaksi terhadap perarakan kebudayaan yang menyaksikan sejumlah peserta mengibarkan bendera China, pada bulan lalu.
Dinamakan sebagai Himpunan Patriotik Rakyat, ia diadakan di Menara Condong semalam walaupun polis telah menasihatkan orang awam supaya tidak menyertainya.
Ketua Pemuda PAS Teluk Intan Nurhafizul Badrul Hisham dipercayai menjadi penganjur himpunan itu.
Dalam satu hantaran di Facebook semalam, Nurhafizul mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir.
“Terima kasih kepada yang hadir. Tetap setia mengibarkan bendera Malaysia walau hujan turun dengan lebat.
“Kalau geng bendera China, mesti (mereka) bercempera lari dah ni,” katanya dalam hantaran itu.
Dia juga membayangkan perhimpunan serupa akan diadakan di masa akan datang.
Terdahulu hari ini, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata perhimpunan tersebut menarik telah menarik peserta dari Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor.
Ketika perhimpunan yang diadakan di situ sebelum ini, Razman dilihat telah membuat kenyataan berunsur perkauman.
“Kita mohon kepada semua yang matanya macam ni (sambil tunjuk mata), kulit dia macam ni (tunjuk kulit), darah dia macam kita semua, kita kena bersatu, inilah wadahnya yang kita bawa,” katanya ketika itu.
Kenyataan stereotaip mengenai ciri mata orang Cina dan lain-lain keturunan Asia Timur lazimnya diguna sebagai cacian terhadap komuniti itu.
Tiada kebenaran pemilik lokasi
Pada Rabu lalu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak Ahmad Adnan Basri berkata acara tersebut tidak mendapat kebenaran daripada pemilik lokasi, iaitu Majlis Perbandaran Teluk Intan, seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman.
Menurut Bernama, Adnan juga memberi peringatan yang sesiapa yang menyertai himpunan itu akan berdepan tindakan tegas.
Bagaimanapun, himpunan tidak memerlukan permit daripada pihak polis.
Pada 2 Oktober lalu, sekumpulan individu mengibarkan bendera China di satu sambutan kebudayaan Guan Gong di Teluk Intan yang mencetuskan kemarahan banyak pihak.
Penganjur kemudiannya memohon maaf dan menjelaskan bendera tersebut dikibarkan oleh warga China, bukan rakyat Malaysia.
Siasatan polis mendapati penganjur telah melanggar syarat permit dengan membenarkan warga asing menyertai perarakan tersebut.
Ulasan
Catat Ulasan