KWSP catat pendapatan pelaburan RM57.6b
KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan berjumlah RM57.6 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024.
Oleh NURFARAHIN HUSSIN
12 November 2024, 6:50 am
PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan berjumlah RM57.6 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024.
Jumlah ini meningkat 20 peratus berbanding RM47.9 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Pada suku ketiga berakhir 30 September 2024, jumlah pendapatan pelaburan adalah RM19.7 bilion, meningkat RM5 bilion daripada RM14.7 bilion yang dicatatkan pada suku sama 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, prestasi kukuh ini bukti kepada strategi pelaburan merangkumi portfolio pelbagai merentasi kelas aset utama.
“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kukuh 5.9 peratus tahun ke tahun pada suku kedua dan FBM KLCI ditutup 1,648 mata dengan pulangan 13 peratus setakat tahun ini.
“Pasaran global menunjukkan prestasi positif sepanjang suku tahun ini, didorong permulaan kitaran pelonggaran kadar faedah apabila Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menurunkan 50 mata asas pada September.
“Pengurangan kadar faedah di AS yang dinantikan telah mendorong sentimen pasaran dan keuntungan merentasi pelbagai sektor, termasuk REIT, utiliti dan kewangan, yang semuanya memberi kesan positif kepada portfolio pelaburan KWSP.
“Pertumbuhan KDNK sebenar China dicatatkan pada 4.6 peratus tahun ke tahun, menurun sedikit daripada 4.7 peratus pada suku sebelumnya. Namun, risiko kekal dalam prospek global seperti trajektori dan kadar pengurangan kadar faedah, ketegangan geopolitik yang berterusan dan semakin meningkat terutama di Timur Tengah, serta potensi tarif import yang lebih tinggi ke AS dengan pemilihan Donald Trump minggu lalu,” katanya dalam kenyataan.
Pendapatan daripada pelaburan ekuiti terus menjadi penyumbang besar kepada pendapatan untuk suku ketiga 2024, menjana sebanyak RM18.32 bilion.
Peningkatan ini berbanding RM9.17 bilion dalam suku ketiga 2023, mencerminkan pendekatan proaktif pengurus dana dalam merealisasikan keuntungan di sebalik ketidaktentuan pasaran, disokong oleh momentum positif dalam pasaran ekuiti.
Instrumen pendapatan tetap, yang memainkan peranan penting dalam pemeliharaan modal, menjadi tonggak bagi KWSP dengan menyediakan aliran pendapatan yang stabil dan mengurangkan impak ketidaktentuan pasaran jangka pendek.
Kelas aset ini, yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf, serta Pinjaman dan Bon, menyumbang 33 peratus atau RM6.51 bilion kepada jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi suku ketiga 2024.
Hartanah dan infrastruktur mencatatkan keuntungan sebanyak RM0.82 bilion dalam suku tahun ini berdasarkan kadar mata wang tetap.
Memandangkan majoriti pelaburan dalam hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang didenominasikan dalam mata wang selain ringgit, dan dengan pengukuhan ringgit baru-baru ini berbanding dolar AS, kelas aset ini mengalami kerugian sebanyak RM3.71 bilion dan RM1.45 bilion masing-masing selepas penukaran mata wang asing.
Setakat September 2024, jumlah aset pelaburan KWSP adalah berjumlah RM1.2 bilion, dengan 62.2 peratus dan 37.8 peratus diperuntukkan kepada pelaburan dalam dan luar negara.
Dalam suku ketiga, pelaburan luar negara menyumbang sebanyak RM10.50 bilion, merangkumi 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.
Daripada jumlah pendapatan pelaburan, RM48.02 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional, manakala RM9.55 bilion untuk Simpanan Shariah.
Pasaran buruh Malaysia menunjukkan prestasi yang kukuh, dengan peningkatan pekerjaan sebanyak 1.9 peratus tahun-ke-tahun dan kadar pengangguran kekal rendah pada 3.2 peratus manakala kadar penyertaan tenaga kerja kekal stabil pada 70.5 peratus.
Persekitaran pasaran buruh yang positif ini telah menyumbang kepada peningkatan keahlian baru KWSP, kerana lebih ramai individu memasuki tenaga kerja dan berusaha untuk menjamin masa depan kewangan mereka melalui skim simpanan persaraan.
Sepanjang tiga suku pertama 2024, KWSP mencatatkan pendaftaran ahli baharu sebanyak 364,364, menjadikan jumlah keahlian setakat September 2024 kepada 16.1 juta.
Jumlah ahli aktif ialah 8.69 juta, mewakili 50.4 peratus daripada 17.24 juta tenaga kerja Malaysia.
Pendaftaran majikan baharu yang dicatatkan dalam tempoh tersebut ialah 55,717, menjadikan jumlah majikan aktif berdaftar dengan KWSP kepada 612,889. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan