MP PN sering diganggu celahan remeh ketika bahas


MP PN sering diganggu celahan remeh ketika bahas

Sidang Dewan Rakyat, Parlimen
November 3, 2024

KOTA BHARU: Kebanyakan Ahli Parlimen tidak dapat menyampaikan suara rakyat di Parlimen dengan baik kerana sering berlaku pencelahan atau gangguan dengan mempertikaikan perkara remeh sehingga masa diberikan tamat begitu sahaja.

Akibatnya, perjuangan untuk membela rakyat dengan membawa suara-suara mereka di Parlimen berakhir begitu sahaja apabila sebahagian besar Ahli Parlimen tidak dapat mengemukakan perkara berkaitan dengan baik.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berpendapat, Ahli Parlimen perlu mengambil peluang mengemukakan perbahasan secara matang sepanjang sesi persidangan di Dewan Rakyat.

Menurutnya, mereka dipilih oleh pengundi untuk membela serta membawa suara-suara rakyat di Parlimen, memajukan negara di samping memperbetulkan kelemahan serta kepincangan yang berlaku.

Menurut beliau, setiap Ahli Parlimen juga dapat memberikan cadangan dan menerima maklum balas pihak bertanggungjawab, selain memberi syor penambahbaikan kepada kerajaan untuk kepentingan rakyat.

“Saya rasa kita perlu membuang tabiat mencelah dengan perkara remeh dan mengganggu perbahasan Ahli Parlimen lain,” katanya kepada media ketika ditemui selepas majlis Ijtimak Tarbawi 10.0 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, dekat sini semalam.

Ahli Parlimen Alor Setar itu juga berkata, Ahli Parlimen perlu mengemukakan idea berkualiti yang boleh membantu kerajaan dan negara ketika sesi persidangan Parlimen berlangsung.

“Malangnya ada juga yang sudah menyediakan teks tetapi gagal menghabiskannya apabila ‘diganggu’ dan itu hanya membuang masa perbahasan.

“Jadi kita tidak berjaya menyampaikan suara rakyat di dewan tertinggi, di tempat yang menggubal dasar undang-undang,” katanya yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Afnan Hamimi turut memberitahu, sebagai pembangkang, PAS akan terus menyalurkan maklumat dari peringkat akar umbi kepada kerajaan.

Katanya lagi, setiap maklumat juga turut dikumpulkan daripada media massa atau luahan netizen kerana dari situ ahli Parlimen akan menyampaikannya terus di Parlimen.

“Sebagai pembangkang, kami boleh menjadi semak dan imbang serta menyokong perkara baik dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Program Ijtima Tarbawi 10.0 yang berlangsung di PUTIK selama dua hari itu menyaksikan Kelantan sebagai tuan rumah. – HARAKAHDAILY 3/11/2024

Ulasan